Tuesday, May 5, 2009

Penanti jangan jadi lubuk fitnah


Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) akan memutuskan sama ada perlu bertanding atau sebaliknya dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang kawasan Penanti pada 31 Mei ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Saya tak fikir ini (Penanti) isu Umno sahaja sebab bila kita bertanding… kita bertanding atas tiket Barisan Nasional.

“Kita tidak tergesa-gesa membuat keputusan. Kita ini parti begitu kuat pada kerja untuk kebajikan rakyat,” katanya pada persidangan berita di sini, Selasa.

Najib, yang juga pengerusi BN berkata keputusan mengenai kedudukan Penanti akan dibuat dalam tempoh terdekat.

Kerusi (DUN) Penanti kosong setelah bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Mohammad Fairus Khairuddin, 33, daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengosongkannya dengan alasan untuk melanjutkan pelajaran.

Ketika diminta mengulas keputusan Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Raymond Tan dan anggota Dewan Undangan Negeri Elopura Au Kam Wah, menyertai Parti Gerakan, parti politik yang berpangkalan di Semenanjung, setelah tidak mempunyai parti selama hampir sembilan bulan, Najib berkata Tan bersama Au sudah berjumpa dengan beliau dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman semalam untuk memaklumkan perkara itu.

“Raymond menyatakan bahawa selepas berfikir semasak-masaknya beliau mengambil keputusan untuk memasuki parti Gerakan atas beberapa sebab.

“Antaranya ialah bahawasanya parti Gerakan adalah satu parti berbilang bangsa dan dia dapat menonjolkan dirinya sebagai pemimpin untuk semua kaum dan semua penyokongnya boleh menyertai bersama-sama dengan dia,” katanya.

Mengenai kedudukan Tan dalam Kabinet negeri, Najib berkata perkara itu akan ditentukan kemudian.

“Itu kita serahkan kepada kuasa prerogatif Ketua Menteri dan lepas itu, Ketua Menteri akan buat cadangan kepada saya,” katanya.

Bagi Teman, BN tidak perlu gusar dengan taktik tukang karut PKR , Anwar Ibrahim, BN harus meletakan kepentingan rakyat mengatasi sindrom takut kalah kerana, kalau kalah pun bukan bererti BN gagal tetapi sebagai peluang untuk belajar membetulkan kelemahan dan kepincangan menjelang pilihan raya umum akan datang.

Malahan kesempatan pilihan raya kecil itu juga sekurang-kurangnya dapat dijadikan ruang untuk menyekat penyebaran pelbagai fitnah, penipuan dan kepalsuan yang akan ditaburkan oleh pemimpin PKR itu.

Datuk Seri Najib harus membuktikan BN sedia menghadapi sesiapa sahaja yang cuba mengalahgunakan demokrasi untuk kepentingan perut sendiri dengan membuat keputusan bijak untuk sama sama mengambil bahagian dalam pilihan raya itu nanti.

Teman percaya, BN ataupun UMNO masih mempunyai pemimpin berwibawa yang boleh mengugat PKR yang mula menjadikan pilihan raya kecil sebagai ruang untuk mencari pengaruh.

No comments: