Saturday, November 22, 2008

Renungan buat Kak Rafidah


Membaca SMS daripada kawan-kawan di pagi Ahad ini, Teman seperti biasa tidaklah mengambil serius sangat kerana ada setengahnya SMS itu lebih kepada untuk menguntungkan syarikat telekomukasi sahaja walaupun kadangkala ada juga berita gembira dan menyedihkan.

Bagaimanapun pagi ini Teman membaca SMS daripada orang sahabat yang sering mengikuti blog Teman dan katanya dia tertarik dengan artikal Wanita UMNO yang Ego.

Katanya, dia bersetuju sangat dengan komen Teman yang sepatutnya sampai masa bagi Tan Sri Rafidah Aziz memikirkan balik keputusannya itu.

Menurut sahabat itu lagi, ini kerana dia difahamkan sewaktu adanya desakan untuk Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Badawi bersara, dalam satu mesyuarat Majlis Tertinggi, Rafidah adalah antara pemimpin yang lantang membuat desakan itu.

Dengan pelbagai hujah untuk menghalalkan desakan itu , Rafidah turut menjelaskan kewajaran bagi Pak Lah bersara. Akhirnya Pak Lah sudahpun mengambil keputusan itu dan mempercepatkan proses peralihan kuasa .

Oleh itu menurut sabahat itu lagi, kini sampai masanya pula bagi Rafidah untuk merenung kembali hasratnya yang masih mau pertahankan jawatannya itu walaupun berhasrat memegang dalam tempoh tiga bulan sahaja.

"Fikirlah balik apa yang ditimbulkan dalam mesyuarat MT itu ketika membuat desakan kepada Pak Lah dan tidak salah hujah untuk boleh dfimanfaatkan untuk diri sendiri." tambah SMS sahabat itu lagi.

Bagi Teman, tak mau nak mengulas SMS itu sebab pertamanya Teman sendiri tak tau sejauhmana benar dakwaan bahawa Rafidah antara yang lantang mendesak Pak Lah untuk bersara awal dan sejauhmana pula ikhlasnya sahabat Teman itu kerana dia ni apa yang Teman tau, baik juga dengan Rafidah.

Bagi Teman...apupun sama-sama kita renung SMS daripada sahabat Teman yang kerdil ini.

Wanita UMNO yang ego


Agenda pemilihan pucuk pimpinan Pergerakan Wanita UMNO sudah masuk bahagian kedua. Datuk Seri Shahrizat sudah mengumumkan hasratnya untuk bertanding jawatan nombor satu, manakala seperti yang dijangka, Tan Sri Rafidah Aziz juga akan mempertahankan jawatan tersebut.

Kedua-dua pemimpin itu memberikan alasan "demi perpaduan" mereka mengambil keputusan tersebut yang sekaligus mengepikan proses peralihan kuasa pergerakan itu Jun depan sebagaimana diputuskan mesyuarat Exconya sebelum ini.

Kalau demi perpaduan, Teman rasa elok sangatlah apa lagi dalam keadaan UMNO yang semakin sakit sebagaimana yang diakui sendiri oleh Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Tapi yang peliknya, kalau alasan perpaduan..macam mana pula boleh timbul macam-macam cerita bila kedua-dua pemimpin itu membuat keputusan untuk bertanding dan mempertahankan jawatan.

Ada wanita di peringkat negeri sudah membuat kenyataan terbuka untuk menyokong Datuk Seri Shahrizat dan bercanggah pula dengan Ketua Wanita negeri yang memberikan sokongan kepada Rafidah untuk mempertahankan jawatan.

Johor, misalnya, Ketua Wanita UMNO negeri, Datuk Halimah Saddique secara terbuka menyokong Rafidah dan turut mendakwa pengerakan Wanita di negeri itu akan memberikan sokongan pada kepada Rafidah.

Sehari selepas itu pula, Naib Ketua Wanita UMNO Negeri, Senator Sharifah Azizah Syed Zain pula menafikan kenyataan ketuanya dan secara terbuka juga memberikan sokongan kepada Shahrizat.

Begitu juga dengan apa yang berlaku di Perak, 22 daripada 24 Wanita UMNO bahagian negeri itu sudah membuat kenyataan terbuka untuk memberikan sokongan kepada Shahrizat walapun ada bahagian yang sebelum ini memberikan pencalonan kepada Rafidah.

Malahan mereka juga turut mendedahkan, pihaknya telah dipaksa untuk memberikan pencalonan kepada Rafidah sebelum ini dan pendedahan itu amat mengejutkan.

Sabah dan Pulau Pinang tidak terkecuali telah membuat kenyataan terbuka yang jelas ada sedikit pencanggahan di antara barisan kepimpinan bahagian dengan Ketua Wanita negeri masing-masing.

Bagi Teman, perkembangan ini jelas bahawa apa keputusan dan alasan yang dibuat oleh kedua dua tokoh Wanita itu, tetap mengundang perpecahan atau perang dingin dalam pergerakan itu yang menuntut pengorbanan antara mereka.

Adalah lebih baik salah seorang daripada mereka memikirkan kembali keputusan yang diputuskan itu dan ketepikan oge masing-masing kalau ikhlas ingin melihat perpaduan dalam pergerakan itu.

Rafidah yang sudah lama memimpin pergerakan itu dan hanya mau meneruskan khidmatnya bagi tempoh tiga bulan lebih eloklah fikir-fikirkan balik keputusan yang dibuat melalaui kenyataan akhbar 11 muka baru-baru ini.

Tak guna kita mempertahankan prinsip tapi yang akan rugi UMNO dan ahli pergerakan itu sendiri. Sepatutnya kita tidak perlu merasa malu berundur diri sewaktu kepimpinan kita mula ditolak. Pemimpin boleh datang dan pergi tetapi UMNO tidak boleh dibiarkan menjadi mangsa percaturan politik peribadi.

Bagi Teman, jangan sampai Wanita UMNO akan ditolak dek kerana meluat dengan kerenah kepimpinan kerana sudah ada yang sedang berkira-kita untuk bersara dalam pergerakan itu untuk berhijhrah kepada Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) pimpinan YB Zuraidah yang nampaknya tak banyak isu remeh-temeh yang timbul.


Bagi Teman, jangan sampai Wanita UMNO ini akan jadi sebagaimana kata perpatah, menang jadi arang, kalah jadi abu...

Saturday, November 15, 2008

Bukan kerana kami kawan baik - Tengku Adnan


PUTRAJAYA - Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menegaskan keputusan membenarkan Ahli Parlimen Larut, Datuk Hamzah Zainuddin untuk bertanding sebagai Ketua UMNO Bahagian Larut bukan dibuat atas dasar beliau adalah kawan baiknya.

Sebaliknya, kata beliau, keputusan tersebut adalah berdasarkan peraturan sebagaimana kebenaran diberikan kepada Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir bertanding di Kulim/ Bandar Baharu, Kedah setelah bertukar dari UMNO Bahagian Baling.

Selain itu, katanya, bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Osman Desa juga dibenarkan bertanding di UMNO Bahagian Sik setelah bertukar dari Kepala Batas, Pulau Pinang manakala Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Noraini Ahmad dibenarkan bertanding apabila ditukar ke bahagian Parit Sulong, Johor.

"Ada orang kata dia (Hamzah) kawan baik saya sedangkan bukan dia seorang sahaja yang boleh bertanding.

"Dia boleh (bertanding) kerana dia tidak menggunakan hak dia di cawangan dan bahagian yang lama tetapi orang tidak mahu dengar peraturan. Kenapa takut pada bayang-bayang," soalnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis berkhatan beramai-ramai anjuran Unit Berkhatan, Jabatan Pembedahan, Hospital Putrajaya di sini hari ini.

Beliau mengulas pendirian Jawatankuasa UMNO Bahagian Larut sebelum ini, secara sepakat menolak pencalonan Hamzah yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan bertanding jawatan Ketua Bahagian itu.

Ketuanya, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar dilaporkan berkata, Hamzah tidak layak bertanding kerana menjadi ahli UMNO bahagian itu selepas 31 Disember 2007, sekali gus melanggar pekeliling yang dikeluarkan Ibu Pejabat parti.

Bagaimanapun pada 9 November lalu, seramai 74 daripada 97 KetuaUMNO cawangan di bahagian Larut mendesak supaya Hamzah bertanding merebut jawatan Ketua Bahagian itu.

Menurut Tengku Adnan, UMNO Bahagian Larut diberikan kelonggaran bagi mengadakan persidangan perwakilan bahagian selepas 9 November lalu, ekoran 6 mesyuarat cawangan dan 16 cawangan Puterinya dipertikaikan kesahihannya.

Dalam pada itu, beliau yang cukup kesal dengan insiden pertelagahan dan pergaduhan selain politik wang pada pemilihan bahagian berkata, UMNO sekarang sedang sakit, parti saya sakit.

"Saya akan beri dos yang lebih bagi mengubati bahagian-bahagian yang terbabit.

"Kalau tidak, kita tidak akan berubah. Kalau kita sakit tetapi ubat yang diberikan tidak mengikut sukatan, macam mana hendak sembuh," katanya.

Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berkata, beliau juga tidak kisah jika ada pihak yang tidak senang dengan tindakannya itu kerana apa yang penting, UMNO perlu diperkuatkan semula bagi memenangis pilihan raya umum akan datang.

Penjelasan Kes Hamzah



Seorang ahli jawatankuasa UMNO di bahagian saya, Jumaat lepas mengirim pesanan khidmat ringkas (SMS) dari Kota Bahru mengatakan seluruh Malaysia sedang melihat perkembangan di Larut.

Editor WATAN, Mohd Zabidi Saidi ada meminta saya selaku Ketua UMNO Bahagian Larut agar menerangkan kedudukan sebenar mengenai masalah yang sedang melanda bahagian Larut.

Pada mulanya saya agak keberatan, khuatir nanti ada yang mengatakansaya mengambil kesempatan menjelang mesyuarat agung pemilihan bahagian kerana saya akan mempertahankan jawatan tersebut.

Namun bagi mengelakkan kekeruhan berpanjangan, saya bersetuju untuk memberitahu kedudukan yang sebenarnya terutama berhubung dengan kehadiran Datuk Hamzah Zainuddin yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan ke bahagian Larut. Seperti yang umum sedia maklum, nama Hamzah muncul bertanding di Parlimen Larut pada pilihanraya umum ke 12 yang baru lalu, walaupun tanpa pengetahuan saya dan ahli-ahli jawatankuasa bahagian yang lain dan kami amat terkejut dengan pengumuman Menteri Besar Perak ketika itu, kerana langsung tidak diperbincangkan mengenai pencalonan beliau itu bagi bertanding di tempat kami.

Tanggungjawab

Hamzah yang juga ahli Majlis Tertinggi (MT) yang dilantik oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi adalah bekas Ketua UMNO Bahagian Ipoh Barat. Parlimen ini merupakan kubu kuat bukan Melayu, justeru wakilnya alah dari MCA.

Walaupun pada peringkat awal, ramai yang kecewa dengan kehadiran Hamzah dan di bahu saya memikul tanggung jawab yang besar, tetapi demi maruah parti, seluruh jentera BN di Larut dikerah bekerja keras bagi memastikan kemenangan Hamzah. Akhirnya beliau memperolehi majoriti lebih kurang 1,900 undi. Ketika saya bertanding di tempat yang sama pada pilihanraya umum 2004, saya memperolehi majoriti 7,435 undi. Kini saya ditukarkan ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Kubu Gajah yang juga dalam parlimen Larut. Kawasan ini adalah kawasan baru yang mula diwujudkan pada pilihanraya 2004 dan merupakan kerusi panas.

Begitupun, jawatankuasa bahagian sekali lagi dikejutkan apabila diberitahu juga tanpa pengetahuan bahagian bahawa keahlian Hamzah ke Larut sidah diterima pada 3 April. Lebih mengejutkan lagi beliau dikatakan boleh bertanding dalam pemilihan tahun ini juga, sedangkan surat pekeliling Setiausaha Agung yang menyatakan sebarang penjelasan yuran, pertukaran cawangan dan bahagian hanyalah dilakukan sehingga berakhir 31 Disember 2007 bagi melayakkan mereka mengambil bahagian dalam persidangan agung cawangan dan bahagian tahun 2008.

Dan keadaan ini cukup mengelirukan lantas jawatankuasa bahagian mengadakan mesyuarat bagi membincangkan perkara tersebut dan membuat keputusan menangguh persidangan agung kesemua 97 cawangan sehingga diberitahu kerana inginmenyelesaikan perkara tersebut terlebih dahulu.

Masalah itu yang mendapat bantahan jawatankuasa bahagian turut juga dibangkitkan ke mesyuarat Perhubungan UMNO Negeri perak yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Tajol Rosli yang kemudian memutuskan membawa perkara itu ke peringkat atas.

Pada ketika masalah itu berbangkit, berlaku pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh. Kemudian ia sekali lagi dibangkitkan dalam mesyuarat Perhubungan UMNO negeri pada hari yang kebetulan Perdana Menteri mengadakan lawatan berbuka puasa di Ipoh.

Ramai yang bertanya kepada saya apa yang sudah jadi dengan bahagia Larut, Hamzah kata dia tidak mahu bertanding, cuma sekadar mahukan jawatan Bendahari bahagian semasa beliau menghadiri majlis berbuka puasa bersama Perdana Menteri di Ipoh dan kebetulan turut mengetahui ialah Perdana Menteri, Tajol Rosli, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan ketua-ketua bahagian yang kebetulan berada semasa beliau menyatakan hasratnya itu di hadapan saya dan disambut dengan pujian. Turut hadir dalam rombongan Perdana Menteri itu ialah Menteri Luar Bandar dan Kemajuan Wilayah, Tan Sri Muhamad Muhd Taib dan Tan Sri Anuar Musa, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan. Saya masih ingat ketika menghadiri jamuan hari raya Hamzah di Selama dengan tidak disangka-sangka beliau telah menarik saya naik ke pentas dalam dewan tempat jamuan tersebut sambil meminta mereka yang hadir supaya menyolong saya mempertahankan jawatan ketua bahagian.

Beliau juga telah secara terbuka menyatakan kepada ramai ahli UMNO bahagian termasuk timbalan ketua, Datuk Mhd Daud Mohd Yusof, yang juga ADUN Selama dan Datuk Najmuddin Alias yang juga ADUN Batu Kurau yang beliau tidak akan mencampuri urusan bahagian termasuk bertanding apa-apa jawatan, kecuali jika ditawarkan jawatan Bendahari.

namun masalah ini sebenarnya timbul bukanlah semata-mata kerana soal pertandingan tetapi menjadi tanggungjawab bahagian mengikut perlembagaan parti ke atas perjalanan semua persidangan cawangan dan wajar mempastikan hanya mereka yang berhak sahaja dibenarkan bertanding.

Justeru atas tanggung jawab itu dan berdasarkan surat pekeliling yang disebutkan tadi, bahagian membuat keputusan untuk menolak pencalonan yang telah diberikan kepada Hamzah bagi mengelakkan sebarang pertikaian dan pembatalan mesyuarat agung bahagian.

Keputusan diambil secara konsensus itu dan keputusan menangguhkan persidangan termasuk beberapa hal lain yang masih lagi belum dapat diselesaikan, maka jawatankuasa bahagian yang bermesyuarat minggu lalu telah bersetuju menangguhkan persidangan pada 9 Nov. dan permohonan itu teah dihantar kepada perhubungan umno negeri dan ibu pejabat umno Malaysia, bagi mendapat kebenaran.

Lagi pun, datuk Seri Abdullah telah membuat kenyataan akhbar yang menyarankan mana-mana bahagian yang bermasalah, elok membuat permohonan menangguhkan persidangan persidangan daripada terbatal dan terpaksa mengadakan mesyuarat semula.

Berpegang kepada kenyataan tersebut, jawatankuasa bahagian Larut telah memohon kebenaran daripada UMNO Malaysia bagi mengelakkan sebarang kesulitan di kemudian hari. Namun, keputusan bahagian itu telah dijawab oleh Setiausaha agung UMNO yang mengatakan bahawa Hamzah boleh bertanding dan berhak bercakap, memilih dan dipilih, sekiranya beliau tidak menggunakan haknya bercakap, memilih dan dipilih di bahagian asalnya pada tahun yang sama, (SUA UMNO merujuk kepada perkara 6.3.8. perlembagaan UMNO) dalam kenyataan akhbar. Satu pertanyaan timbul, bagaimana sekiranya, Hamzah telah didapati menggunakan haknya di bahagian asalnya pada tahun yang sama, sedangkan beliau telah diterima oleh ibu pejabat UMNO menjadi ahli UMNO di bahagian Larut? Atau dalam kata-kata lain, selepas menjadi ahli di bahagian Larut, beliau masih lagi menggunakan haknya di bahagian yang lama iaitu Ipoh Barat.

Justeru bagi meleraikan kemelut tersebut, dalam mesyuarat jawatankuasa bahagian yang diadakan pada hari Jumaat (7hb November lalu) telah mengambil keputusan juga secara konsensus untuk menemui pengerusi jawatankuasa pengurusan bagi memberi penjelasan mengenai perkara tersebut.

Malah jawatankuasa bahagian bersedia berhadapan dengan pihak atasan untuk berbuat demikian, sekiranya diberikan peluang dan sememangnya itulah yang diharapkan agar dapat diberikan peluang untuk menjelaskan perkara yang sebenar-benarnya.

Bahagian hanya mahukan keadilan dan berharap pihak jawatankuasa pengurusan sudi menerima penjelasan ini bagi mengembalikan semula kekeruhan yang berlaku demi masa depan UMNO bahagian dan juga parti.

Ramai yang berpendapat adalah mustahil, Hamzah boleh diterima bertanding dalam tempoh beliau diterima hali pada tahun yang sama dengan begitu cepat, tidak sampai sebulan bertanding dalam pilihanraya 8 Mac, sedangkan masih ada mereka yang bertahun lamanya membuat permohonan, tetapi belum lagi mendapat kelulusan.

Perkara ini berlaku di Larut, bagaimana kalau di kemudian hari berjangkit di tempat lain, apakah layanan yang sama akan diberikan?

Agak aneh, kenapa bahagian Larut menjadi sasaran pertandingan merebut jawatan ketua bahagian sedangkan dalam pilihanraya umum lalu, kepimpinan bahagian telah berjaya mempertahankan kerusi yang dipertandingkan, kesemuanya tewas, tetapi ketua bahagian, Datuk Abdul Rahman Sulaiman, tidak pula ditentang, sebaliknya pemimpin-pemimpin di situ berpakat demi perpaduan.

Perlu diingat dalam keghairahan berlakunya perebutan jawatan ini jangan dilupa tanggung jawab sebenar ahli-ahli parti bagi memastikan matlamat utama untuk merampas semula negeri-negeri yang BN kalah.

Di Perak setakat ini, dua ADUN telahpun tewas dalam perebutan jawatan ketua bahagian. Mereka ialah, bekas ketua bahagian Beruas, Datuk Hamdi Abu Bakar yang gagal mempertahankan jawatannya dan Datuk Nasruddin Hashim merebut ketua bahagian di Parit.

Satu pernyataan timbul, apakah BN dan UMNO Perak mampu merampas semula negeri tersebut daripada tangan pembangkang dalam masa terdekat ini atau dalam pilihanraya umum akan datang? Tepuk dada tanya selera.

Penjelasan ini telahpun saya sampaikan semasa berucap merasmikan persidangan pemuda, wanita dan puteri bahagian Larut pada hari Sabtu bagi mengelakkan sebarang tanggapan buruk terhadap kepimpinan bahagian. - Artikel dipetik daripada Mingguan Watan 16-22 Nov Bersama Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin

Thursday, November 13, 2008

Jawatan Ketua Wanita perlu ditanding - Dr. M


KUALA LUMPUR - pertandingan merebut jawatan Ketua Pergerakan Wanita UMNO pada pemilihan parti itu Mac depan wajar diteruskan, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, pertandingan sedemikian tidak akan membawa masalah kepada parti sekiranya ahli pergerakan itu mementingkan perpaduan.

Menurutnya, mana-mana calon yang tewas dalam pertandingan itu kelak tidak sepatutnya bersikap bermusuhan kerana ia perbuatan yang tidak demokratik.

"Kalau dia nak bertanding, biarlah dia bertanding, saya fikir tiada masalah, lepas itu rapatkan balik barisan.

"Itu adalah proses demokrasi.. ini bila dah bertanding yang kalah tak mahu bercakap dengan yang menang, susahlah, itu tidak demokratik," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Perdagangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLITF) 2008 di sini hari ini.

Isu peralihan kuasa dalam Wanita UMNO menjadi perhatian apabila Naib Ketuanya, Datuk Seri Shahrizal Abdul Jalil mendapat pencalonan yang mencukupi untuk bertanding jawatan Ketua walaupun penyandangnya, Tan Si Rafidah Aziz berjanji akan menyerahkan jawatan itu pada Jun depan.

Ia menjadi semakin 'panas' apabila Shahrizat membuat kenyataan meminta Rafidah mempertimbangkan untuk mempercepatkan pelan peralihan kuasa kepada Mac depan selaras dengan pemilihan parti.

Beberapa Ketua Wanita bahagian juga secara terbuka memberi sokongan kepada Shahrizat sekiranya beliau memutuskan untuk bertanding menentang Rafidah.

Sementara itu, Mahathir berkata, kenyataan beliau semalam yang tidak menolak kemungkinan berlakunya politik wang dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden UMNO dibuat berasaskan maklumat yang diterimanya.

Beliau mendakwa, maklumat itu diperoleh daripada pelbagai sumber dan identiti mereka tidak perlu didedahkan kerana ia adalah perkara sulit.

Kenyataan Mahathir amaran kepada Melayu


KUALA LUMPUR - Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa sesiapa sahaja boleh menjadi Perdana Menteri merupakan amaran tegas kepada orang Melayu supaya tidak mengambil mudah sesuatu perkara.

"Kalau berlaku pergeseran yang mana Melayu tidak bersatu atau tidak bercakap dalam satu nada, kita akan kihat orang lain menerajui kerajaan.

"Ia adalah amaran tegas, khususnya kepada orang Melayu supaya mereka sentiasa bersatu padu untuk menerajui kepimpinan negara kerana sudah 52 tahun ahli daripada UMNO menjadi Perdana Menteri dan ini tidak salah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi merasmikan Pameran Perdagangan Antarabangsa (Intrade) Malaysia dan Forum Perdagangan Antarabangsa (KLITF) 2008, di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Mahathir yang membidas pihak tertentu yang cuba membangkitkan persoalan tentang keperluan mempunyai seorang Perdana Menteri dari kalangan bukan Melayu atas alasan negara tidak dilihat mengamalkan perkauman.

Menurutnya, parti yang mewakili kaum Melayu, sebagai contoh UMNO yang mengetuai parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) yang mewakili Cina, India, penduduk Sabah dan Sarawak perlu terus kukuh dan bersatu bagi memastikan orang Melayu terus menjadi Perdana Menteri sama ada secara tradisi atau kovensyen.

"Apa yang dikatakan oleh Tun tidak harus mewujudkan polemik kerana ia (kenyataan) yang berasaskan kepada apa yang terkandung dalam perlembagaan yang tidak menyatakan Perdana Menteri mesti berasaskan kaum.

"Bagaimanapun, saya tidak mengatakan sama ada saya bersetuju atau tidak mengenainya," katanya.

Beliau berkata, perkara itu bergantung kepada rakyat dan senario politik negara pada masa hadapan.

Tuesday, November 11, 2008

Pelan Rafidah ditolak


KUALA LUMPUR - Exco Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim tetap dengan pendiriannya untuk bertanding jawatan Naib Ketua pergerakan itu dan menolak pelan peralihan kuasa yang dipersetujui 4 Ogos lalu.

Beliau juga mengakui sengaja 'memboikot' mensyuatat Exco itu semalam dan sebelum ini kerana tidak mahu mengadakan sebarang bentuk rundingan dengan kepimpinan pergerakan itu berhubung keputusannya untuk bertanding.

Bagi Kamilia, tidak ada sebab untuk beliau mengundur diri selepas mendapat cukup pencalonan apatah lagi pelan peralihan kuasa itu tidak terkandung dalam perlembagaan parti.

Menurutnya, beliau sudah cukup bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai orang nombor dua dalam parti dan tidak akan berganjak daripada keputusan itu.

"Sekali lagi saya nyatakan, saya menolak pelan perlaihan itu dan tidak mengiktirafnya kerana ia bukan menjadi amalan parti yang dipegang selama ini.

"Saya juga menolak sebarang perbincangan untuk tujuan itu (peralihan kuasa). Mengapa perlu kita kosongkan jawatan ketua untuk tiga bulan sedangkan calon berkenaan sudah layak bertanding? Mengapa perlu kita 'lompongkan' jawatan itu,?' katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Beliau ditanya mengenai keputusan mesyuarat Exco Pergerakan Wanita UMNO semalam yang mengekalkan pelan peralihan kuasa di antara ketua pergerakan itu, Tan Sri Rafidah Aziz dan Naib Ketuanya, Datik Seri Shahrizat Abdul Jalil pada Jun 2009.

Mesyuarat yang dihadiri oleh 27 Exco itu juga membuat ketetapan bahawa jawatan Ketua dan Naib Ketua tidak akan dipertandingkan demi perpaduan dan pengukuhan sayap kaknan UMNO itu.

Kamilia sebelum ini menawarkan diri untuk bertanding jawatan itu dan berikrar akan memberi perkhidmatan terbaik jika dicalonkan.

Beliau mendapat 55 pencalonan berkata, visi dan misinya kini ialah memartabatkan hak wanita, agama, bangsa dan perpaduan kaum.

Ditanya mengenai tindakannya tidak menghadiri mesyuarat Exco pergerakan itu semalam, Ketua Wanita Bahagian Kualam Kangsar itu memberitahu, ia dilakukan kerana beliau menolak dan membantah pelan peralihan tersebut.

"Saya juga tidak menghadiri mesyuarat Exco sebelum ini sebagai menyatakan rasa tidak bersetuju dengan pelan peralihan itu. Mesej saya juga sudah jelas dan berharap mereka memahaminya," jelasnya.

Beliau turut menyokong tindakan Ibu Pejabat UMNO mengeluarkan surat tawaran bertanding jawatan Ketua Wanita UMNO kepada Rafidah dan Shahrizat walaupun mesyuarat Exco pergerakan itu memutuskan tidak akan mempertandingkan jawatan tersebut.

Ditanya apakah beliau akan mendapat sokongan daripada kalangan ahli dan Exco pergerakan tersebut selepas menyatakan pendiriannya itu, Kamilia berkata:

"Ia sudah pasti kerana sekiranya ada suara lantang yang bercakap, pasti akan ada sokongan."

Menurut Kamilia, beliau berhasrat memegang jawatan lebih tinggi dalam Wanita kerana mahu memberi input kepada pucuk pimpinan parti demi kepentingan ahli akar umbi. -UTUSAN

Wanita dah jadi kalam kabut


Nampaknya isu peralihan kuasa Pergerakan Wanita UMNO sebagaimana yang diputuskan dalam mesyuarat Exco Isnin lalu tak selesai begitu saja.


Walaupun kalau tengok gambar dalam sidang akhbar yang diadakan selepas itu, semua mereka tersenyum seolah-olah tidak ada apa-apa berlaku dan Tan Sri Rafidah Aziz masih boleh memimpin Wanita sampai Jun depan.


Tetapi, bila membaca kenyataan akhbar yang dikeluarkan Naib Ketua Pergerakan itu, Datuk Seri Shahrizat Jalil, nampaknya keadaan menjadi sebaliknya, begitu juga dengan pendirian calon Naib Ketua Datuk Kamalia Ibrahim.


Keadaan ini terjadi kerana hasrat Rafidah untuk terus mengekalkan proses peralihan kuasa sampai Jun depan dan tidak memberi laluan kepada Shahrizat untuk mengambil alih kepimpinan dalam pemilihan Mac nanti.


Walaupun Rafidah mempunyai alasan yang kukuh untuk terus mengekalkan jawatan beliau dalam pemilihan agung Mac nanti kerana jumlah pencalonan yang diperolehi tetapi bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu seharusnya melihat sentimen lain yang mahukan beliau berundur.


Dengan pelbagai alasan yang diberi, tetapi bila sebahagian ahli pergerakan itu sudah membayangkan hasrat mereka untuk Rafidah berundur adalah lebih wajar bagi beliau memberi laluan kepada Shahrizat.


Kalaulah untuk memelihara perpaduan, inilah waktu yang terbaik bagi Rafidah untuk memberi laluan kepada Shahrizat yang sekaligus juga membuka peluang kepada Kamalia untuk menduduki kerusi Naib Ketua.


Bagi Teman, proses ini adalah yang terbaik walaupun bukan mudah bagi Rafidah untuk melepaskan begitu sahaja kerusi berkenaan, tetapi demi memelihara perpaduan, tidak salah bagi beliau sebagai seorang pemimpin besar membuat suatu pengorbanan yang besar juga.


Kalau keadaan ini berterusan, yang mempersetujui proses peralihan kuasa hanya kalangan 27 ahli Exco pergerakan itu sahaja, bagaimanapun dengan hasrat 73 bahagian yang mencalonkan Shahrizat untuk jawatan Ketua dan 55 bahagian yang mahukan Kamalia menjadi Naib Ketua.


Dalam keadaan UMNO yang semakin sakit ini, apa yang diperlukan daripada pemimpin parti itu ialah membuat pengorbanan.


Sepertimana kata, bekas Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Aishah Ghani, alasan untuk mengelakkan perpecahan sukar untuk diterima dan beliau tidak nampak alasan kukuh untuk tidak mempercepatkan pelan peralihan kuasa melainkan Rafidah masih menyimpan hasrat untuk kembali ke jawatan kabinet.


Bagi Teman, kenyataan bekas Ketua Wanita yang pernah memberi laluan kepada Rafidah itu harus dijadikan renungan kepada bukan sahaja Rafidah tetapi juga kalangan barisan Ecxo yang masih mengharapkan bos mereka itu akan terus kekal.


Lagipun tempoh selama tiga bulan apa yang mampu dilakukan Rafidah untuk memperkukukan parti sebaliknya selepas itu, Shahrizat hanya memegang jawatan pemangku Ketua selama satu penggal.


Bagaimana pula bagi Shahrizat yang bukan sahaja menjadi pemangku Ketua Wanita tetapi kedudukan beliau dalam barisan kepimpinan Wanita Barisan Nasional. Apakah rakan-rakan dalam barisan Wanita BN boleh bekerja dengan ketua mereka yang hanya bertaraf pemangku sahaja, ataupun beri sahaja laluan kepada Ketua Wanita MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun untuk mengetuai barisan kepimpinan Wanita BN.


Tentunya kalau cadangan itu dilontarkan, semua ahli Wanita UMNO tidak akan bersetuju, tetapi itulah hakikatnya kalau sesama sendiri tidak mahu bertolak ansur yang rugi bukan sahaja Rafidah, Shahrizat atau barisan Exco tetapi UMNO keseluruhannya.


Bagi Rafidah yang sudah lama dalam barisan kepimpinan parti dan kerajaan tentunya lebih arif dengan kesannya nanti apa lagi sejak kebelakangan ini rakan-rakan dalam kompenan BN sendiripun kadang-kadang sudah sukar untuk dipegang 'tali' mereka.


Banyak sangat kes-kes lempar batu sembunyi tangan. dan pukul anak sindir menantu.


Bagi Teman, apapun masa masih terlambat untuk semua pemimpin pergerakan Wanita UMNO memikirkan kembali apa yang harus dilakukan. Kalau Datuk Seri Abdullah Badawi sendiri sudah bersedia melepaskan kerusi empuknya itu kepada Najib Mac nanti....yang lain pun patut fikir-fikir juga. Sendiri mau ingat.

Monday, November 10, 2008

Dilema buat Shahrizat..


Keputusan mesyuarat Exco Pergerakan Wanita UMNO Malaysia hari ini walaupun sudah dijangka agak mengejutkan juga.

Yang dijangkanya ialah bagaimana Tan Sri Rafidah Aziz tidak mudah melepaskan jawatan beliau begitu sahaja dan yang mengejutkan pula bagaimana setianya Datuk Seri Shahrizat Jalil dengan ketua beliau hinggakan sanggup mengenepikan perasaan sebilangan ahli pergerakan itu.

Barangkali tindakan Shahrizat itu boleh dipuji kerana menjadi seorang penyokong yang paling setia kepada bosnya dan meletakkan kepentingan barisan kepimpinan melebihi parti dan sebahagian besar akar umbi.

Apa tidaknya, kalau lihat sahaja daripada pencalonan yang diperolehi beliau, sebanyak 74 bahagian sudah cukup untuk dibuat ukuran bahawa sudah hampir 40 peratus perwakilan Wanita UMNO mahukan perubahan kepimpinan dan memilih Shahrizat untuk mengetuai pergerakan itu.

Bagaimanapun dek akur kepada keputusan mesyuarat exco pergerakan itu yang memutuskan proses peralihan kuasa kekal Jun tahun depan, beliau terus sahaja akur walaupun selepas tarikh itu Shahrizat hanya mampu dipanggil pemangku Ketua Wanita UMNO.

Walaupun tempoh tersebut agak panjang iaitu sekurang-kurangnya 2011 , tetapi demi kesetiaan yang tidak berbelah bagi itu beliau tentunya sanggup berkeadaan sedemikian. Barangkali kali ini juga Wanita UMNO mencipta sejarah tersendiri apabila jawatan pemangku paling lama di pegang.

Biasanya jawatan seperti ini hanya dipengang untuk beberapa masa yang singkat sahaja atas sebab yang tidak dapat dielakkan. Yang hairannya selepas ini Wanita UMNO akan diketuai Pemangku dan tidak ada jawatan Naib Ketua.

Jika keadaan sedemikian, mampukah bagi Shahrizat untuk memimpin pergerakan itu terutama menjelang pilihanraya umum ke 13 nanti, lagipun kalau alasan Rafidah untuk membimbing Shahrizat mengetuai Wanita, apakah tempoh tiga bulan sudah mencukupi.

Bagitu juga dengan keputusan Datuk Kamalia Ibrahim yang tidak akan akur dengan keputusan mesyuarat Exco dan menegaskan akan tetap bertanding jawatan Naib Ketua Wanita, apa akan terjadi kepada Shahrizat.

Kalau Shahrizat memilih untuk mempertahankan jawatan Naib Ketua, tentunya beliau akan menghadapi tentangan daripada Kamalia atau memilih untuk bertanding jawatan Ketua pula akan berdepan dengan Rafidah.

Apapun, Shahrizat perlu membuat perhitungan yang tepat kerana sokongan kalangan akar umbi terhadap beliau masih kuat dan hasrat lebih 40 peratus persidangan perwakilan harus diambil kira.

Apapun masa masih belum terlambat, kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bahawa ibu pejabat tetap akan mengeluarkan surat tawaran kepada mana-mana calon yang layak bertanding termasuk Shahrizat adalah kesempatan yang terbaik buat Penasihat Khas kepada Perdana Menteri itu.

Bagi Teman, pisau dan timun ditangan Shahrizat, pandai-pandailah membuat perhitungan , jangan sampai yang dikejar tak dapat dikandung keciciran.

Singapura belum sedia pilih PM bukan Cina - Hsien Loong


SINGAPURA 9 Nov. - Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong berpendapat republik ini yang mempunyai penduduk berbilang kaum berjumlah lebih 3.5 juta orang, belum bersedia untuk memilih Perdana Menteri bukan Cina dalam tempoh terdekat.

Hsien Loong membuat kenyataan itu semalam semasa dialog dengan anggota masyarakat Melayu di sini sebagai menjawab soalan sama ada pemilihan Barack Obama sebagai Presiden kulit hitam pertama Amerika Syarikat (AS) bermakna anggota kaum minoriti di negara ini juga berpeluang untuk menjadi Perdana Menteri.

"Kemungkinannya ada, ini bergantung kepada cara penduduk mengundi dan siapa yang mendapat keyakinan rakyat.Adakah ini akan berlaku tidak lama lagi? Saya tidak fikir begitu kerana seseorang perlu memenangi undi," kata Hsien Loong menurut laporan akhbar Sunday Times hari ini.

Beliau berkata, sentimen yang mendorong seseorang mengundi calon tertentu akan memakan masa yang lama untuk hapus sama sekali.

Kira-kira 75 peratus daripada 3.64 juta penduduk tetap Singapura ialah kaum Cina, sementara hampir 14 peratus merupakan kaum Melayu dan sembilan peratus lagi kaum India.

Jawatan Presiden Singapura yang tidak memiliki kuasa sebenar disandang oleh seorang yang berketurunan India.

Seorang daripada dua Timbalan Perdana Menteri Singapura serta tiga menteri dalam Kabinet Hsien Loong juga dari kaum India. - AFP

* Bagi Teman, sama-samalah kita fikir kalau Melayu dah tak ada kuasa... Inilah jadinya.

Sunday, November 9, 2008

Selamat berjuang buat Muhyiddin, Muhd Taib dan Ali Rustam



Teman nak ucap tahniah kat Tan Sri Muhammad Taib dan Datuk Seri Ali Rustam, akhirnya mereka dapat juga bersama-sama Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menawar diri bertanding jawatan kedua tertinggi dalam UMNO yang sekaligus bakal menjadi orang nombor dua dalam kerajaan selepas perhimpunan agung UMNNO Mac nanti.

Walaupun sebelum ini sudah ada ramalan mereka bertiga layak bertanding ,yang sekaligus mencipta sejarah dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden UMNO kerana akan berlakunya pertandingan tiga penjuru untuk jawatan tersebut yang sebelum ini hanya memperlihatkan pertandingan dua penjuru sahaja.

Dengan berakhirnya persidangan perwakilan hari ini, kecuali beberapa lagi bahagian yang menghadapi masalah membuktikan ahli UMNO sudah matang dan berani membuat sesuatu keputusan tanpa dipengaruhi anasir lain.

Sebagaimana yang berlaku terhadap Tan Sri Muhammad Taib, yang mendakwa beliau telah disekat untuk mendapatkan pencalonan disamping pelbagai berita palsu disebarkan kononnya beliau akan menarik diri dan sebagainya.

Tetapi akhirnya ahli parti sudah memutuskan untuk memberi peluang kepada mereka mencuba nasib untuk menduduki kerusi yang bakal dikosongkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak yang bakal diangkat sebagai Presiden parti bagi mengantikan Datuk Seri Abdulla Badawi Mac depan.

Begitu juga dengan pencalonan yang diperolehi dari luar negeri sendiri, sebagai bukti politik kenegerian juga bukan menjadi pilihan para perwakilan sebagaimana kejayaan Muhammad memperolehi undi dari Tenggara Johor dan Lipis , Pahang.

Begitu juga dengan pencalonan yang diperolehi Ali Rustam, walaupun Melaka sudah selesai mengadakan persidangan masing-masing beliau masih menambah pencalonan dari luar negeri itu, antaranya Rembau dan Ipoh Timur dan begitu juga dengan Muhyyidin melalui UMNO Libaran Sabah dan Temerloh Pahang.

Bagi Teman perkembangan ini juga menunjukkan ahli UMNO mahu akar umbi yang bakal memilih pemimpin MAC nanti telah menjalankan amanah pertama mereka. Hanya menunggu satu lagi amanah besar yang harus diterjemahkan Mac nanti.

Sekarang terserah kepada pemimpin berkenaan untuk membuktikan kemampuan masing-masing dan mengambil hati perwakilan kerana pencalonan bukan satu jaminan untuk mereka memperolehi undi kerana apapun yang paling penting, undi akan menentukan nasib mereka yang sebenar.

Bagaimanapun dalam usaha menawan hati perwakilan , tidak haruslah dicampur aduk dengan gejala tidak sihat, fitnah memfitnah , buruk memburuk sesama sendiri kerana apapun pemilihan ini adalah untuk memilih pemimpin dalam keluarga sendiri, janganlah sampai menang jadi arang, kalah jadi abu.

Teman yang tinjau-tinjau blog kawan-kawan ada juga terjumpa kempen kurang sihat dan tuduh menuduh dan gejala ini perlu dihentikan segera.

Selamat berkempen...

Saturday, November 8, 2008

Khir tak mau jawatan ke tak perlu jawatan


Tiba tiba sahaja calon Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Khir Toyo mengumumkan beliau tidak mahu sebarang jawatan dalam kerajaan sekiranya terpilih sebagai Ketua Pemuda UMNO dalam pemilihan agung parti Mac depan.

Menurut bekas Menteri Besar Selangor itu lagi, beliau lebih selesa bergerak di peringkat bawahan untuk memantapkan parti.

Bagi Teman, kenyataan yang dibuat di Sungai Besar itu tidak lebih sebagai salah satu pemanis bicara dan sekadar mencetuskan isu bagi memanaskan semula kempen pemilihan Ketua Pemuda yang mulai dingan selepas persidangan perwakilan bahagian sudah berada di penghujung.

Jika benar kenyataan yang dibuat oleh Khir itu benar-benar ihklas, beliau tidak perlu menunggu sehingga selesai persidangan perwakilan, sebaliknya di buat di peringkat awal sewaktu pengumuman rasmi beliau untuk sama-sama turun ke gelanggang Pemuda.

Tentunya jika beliau memilih untuk berbuat demikian sebelum ini, mudah bagi perwakilan bahagian yang telah mecalonkan beliau membuat penilaian dan petrtimbangan sama ada akan terus memberikan pencalonan atau sebaliknya.

Sehingga kini Khir memperolehi 62 pencalonan dengan mengatasi Khairy Jamaluddin yang hanya mengumpul 52 pencalonan. Bagaimanapun Datuk Mukriz Tun Mahathir sudah mendahului kedua-dua calon tersebut dengan 74 pencalonan.

Ini tentunya kerana sebahagian perwakilan yang mencalonkan Wak Khir juga mengharapkan bakal Ketua Pemuda yang dipilih mereka nanti bukan sahaja akan berada dalam barisan kepimpinan parti di peringkat Majlis Tertinggi sebaliknya juga turut berada dalam barisan kabinet.

Melalui saluran kabinet juga, mereka dapat menyuarakan pandangan dan mengemukakan cadangan selain mendapat sedikit habuan yang bukan politik wang tetapi wang untuk berpolitik bagi memudahkan lagi perjalanan bahagian masing masing.

Melihat sejarah Pemuda UMNO sendiri, sebahagian bekas Ketua Pergerakan itu berada dalam kabinet dan tidak ada mereka yang gagal atau dikongkong daripada menegur pemimpin walaupun berada dalam kerajaan.

Lihat sahaja pemuda di zaman Datuk Harun Idris, beliau sewaktu itu memegang jawatan Menteri Besar Selangor tetapi masih bersuara lantang yang bukan sahaja memperjuangkan pergerakan itu, malahan turut mengkritik kepimpinan kerajaan.

Begitu juga Pemuda di era Datuk Suhaimi Kamaruddin, sebagai Timbalan Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga memegang jawatan Menteri , Tan Sri Rahim Tamby Chik sebagai Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hinggakan kepada Datuk Seri Hishamuddin Tun Huseein Onn.

Kalangan mereka ini ada yang berjaya memimpin pergerakan Pemuda menjadi badan pendasak, pemuda tahan lasak dan sebagainya dan tentunya kedudukan dalam kerajaan bukan halangan kearah mengembalikan kegemilangan pergerakan itu yang semakin dipandang lemah dan lesu.

Kalau Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Selangor itu merasakan beliau lebih selesa berada di luar kerajaan bagi memudahkannya bergaul dengan kalangan ahli Pemuda dan tidak akan meminta jawatan dalam kerajaan juga seolah-olah kenyataan itu boleh diibaratkan sebagai hidung tak mancung pipi tersorong-sorong .

Bagi Teman, ini kerana dengan jumlah pencalonan yang kedua terbanyak, belum pasti ia menjanjikan kemenangan kerana yang jelas pencalonan bukan melambangkan undi sebenar kerana ada juga calon yang memperolehi pencalonan dengan mengunakan kuasa ghaib dan kuasa yang paling ketara ialah menggunakan kertas yang mengandungi "tanda tangan Gabenor Bank Negara ".

Selain itu perlantikan seseorang itu dalam kabinet bukan diputuskan oleh pemimpin itu sendiri sebaliknya kuasa mutlak Perdana Menteri, tidak ada sesiapa yang boleh menentukan sama ada mahu berada di dalam atau di luar kerajaan sekiranya memenangi kerusi yang ditandingi mereka dalam pemilihan agung parti nanti.

Sepatutnya dalam keghairahan mengira pencalonan yang diperolehi, Khir harus berikrar dan berjanji kepada perwakilan untuk melaksanakan amanah yang diberikan nanti dengan sebaik mungkin, mengembalikan kegemilangan pergerakan itu dan melaksanakan agenda perjuangan untuk bangsa yang belum selesai.

Itupun sekiranya benar-benar perwakilan akan menterjemahkan apa yang mereka putuskan dalam persidangan perwakilan baru-baru ini kepada undi dalam pemilihan Mac nanti.

Bagi Teman, janganlah terikut-ikut dengan rentak pencalonan , kita sudah mula melupakan harapan sebenar kalangan anggota akar umbi kepada kita...adalah terlalu awal untuk meletakkan diri kita sama ada layak duduk dalam kabinet atau apa sahaja.

Teman masih ingat Wak Khir tersilap bagi hadiah penyapu yang akhirnya Pakatan Rakyat sapu Selangor dan kali ini jangan awal awal umum tidak mahu berada dalam kerajaan, nanti tak sempat nak rasa kerusi Pemuda...perjalanan masih jauh..

Dari Sungai Besar ke Kuala Lumpo,
Singgah di Kelang beli berangan,
Belum ada apo-apo,
Jangan pula dok angan angan.

Friday, November 7, 2008

Siapa Pilihan Najib


Datuk Seri Najib Razak masih lagi belum memutuskan siapakah yang bakal menyandang kerusi No 2 yang diduduki beliau sekarang sekaligus mengecewakan harapan kebanyakan ahli UMNO.

Najib yang telah pasti kedudukannya sebagai bakal Presiden UMNO selepas Tengku Razaleigh Hamzah gagal mendapatkan jumlah pencalonan yang secukupnya bagi bertanding jawatan tersebut, masih belum mengumumkan sokongan beliau terhadap mana-mana calon untuk jawatan Timbalan Presiden meskipun terhadap calon yang disebut-sebut Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Keputusan sidang perwakilan UMNO bahagian Pekan esok dijangka tidak akan memberi apa-apa gambaran memandangkan bahagian tersebut belum memutuskan samada akan membuat pencalonan atau sebaliknya. Keputusan muktamad akan diketahui hari ini.

Walaupun Muhyiddin dikatakan sebagai pilihan beliau tetapi Najib sepertinya tidak mahu menyatakan sokongannya terhadap calon yang berasal dari Johor itu secara terbuka kerana ia seperti membelakangkan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Muhyiddin dikatakan telah mendesak Abdullah supaya menyerahkan jawatannya lebih awal dari tarikh yang diumumkan.

Sebahagian ahli UMNO mulai gusar akan timbulnya perebutan kuasa di antara Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Menteri Penbangunan dan Kemajuan Luar Bandar Tan Sri Muhammad Muhd Taib jika Najib masih terus membisu mengenai siapakah yang bakal menggantikan beliau.

Hujung minggu ini dijangkakan bakal menjadi saat getir bagi kedua-dua calon yang mana Mohd Ali masih memerlukan 7 lagi pencalonan manakala Muhammad pula memerlukan 10 pencalonan bagi melayakkan mereka bertanding jawatan Timbalan Presiden Mac ini.

Dengan baki 49 bahagian yang masih belum bermesyuarat setakat ini, para pemerhati merasakan kedua-dua calon ini bakal melepasi kuota yang ditetapkan dan keadaan mungkin akan menjadi lebih mudah jika Najib memberi gambaran siapa yang bakal menjadi timbalannya.

Dalam pada itu, terdapat cakap-cakap yang mengatakan lawatan Najib ke Peru minggu depan sempena Forum Ekonomi Asia Pasifik (Apec) sebagai satu gambaran sokongan beliau terhadap Muhyiddin, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri .

Terdapat sesetengah ahli perwakilan menyoal kekerapan penyertaan kementerian yang diketuai Muhyiddin ke Persidangan Apec, sesetengah lagi menyimpulkan bahawa ia sebagai satu tanda sokongan Najib. - MALAY MAIL.

Thursday, November 6, 2008

RM10.5j bayar 6 hakim


KUALA LUMPUR - Kerajaan hari ini mengumumkan telah membayar ex-gratia berjumlah RM10.5 juta kepada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dan lima lagi bekas hakim kanan yang terlibat dalam krisis kehakiman, 20 tahun lalu.

Salleh menerima bayaran tertinggi dengan RM5 juta, Tan Sri Azmi Kamarudin (RM2 juta), Tan Sri George Edward Seah Kim Seng (RM2 juta) manakala Tan Sri Wan Hamzah Mohd. Salleh, Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdolcadeer dan Allahyarham, Tan Sri Wan Sulaiman Pawanteh masing-masing mendapat RM500,000.

Jumlah bayaran itu diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz semasa menggulung perbahasan peringkat jawatankuasa Bajet 2009 bagi Jabatan Perdana Menteri pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beberapa Ahli Parlimen pembangkang termasuk Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong sebelim ini telah mendesak kerajaan supaya mendedahkan jumlah pembayaran ex-gratia itu yang diumumkan pemberiannya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada April lalu.

Mohamed Nazri berkata, bayaran itu bukanlah jumlah yang sesuai kerana ia melibatkan harga diri dan maruah bekas hakim-hakim berkenaan.

Nazri menambah, apa jua bentuk bayaran kepada bekas hakim-hakim itu, ia tidak bermaksud bahawa kerajaan bersalah.

Pembayaran ex-gratia itu dibuat sebagai menghargai sumbangan bekas hakim-hakim berkenaan yang terlibat dalam krisis kehakiman dan merupakan langkah kerajaan memulihkan semula kewibawaan badan kehakiman.

Ex-gratia tersebut telah diserahkan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Zaid Ibrahim pada Jun lalu kepada hakim-hakim terlibat.

Bagaimanapun Zaid enggan mendedahkan jumlahnya atas alasan permintaan oleh hakim berkenaan sendiri. Zaid meletakkan jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 15 September lalu.

Nazri menjelaskan, bekas hakim-hakim itu telah ditamatkan perkhidmatan lebih awal seperti saranan panel yang telah bersidang berhubung kes tersebut dan bukan dipecat oleh kerajaan.

"Sekiranya bekas hakim-hakim itu dipecat mereka tidak layak mendapat pencen tetapi kerana telah ditamatkan perkhidmatan, maka mereka layak dibayar pencen mengikut Akta Pencen," katanya.

Nazri juga memaklumkan, kerajaan bersedia untuk membentuk panel hakim lain bagi menilai semula kes bekas hakim-hakim terbabit sekiranya terdapat fakta baru.

"Saya pegang apa yang dikatakan sebelum ini bahawa kerajaan bersedia untuk menubuhkan panel lain untuk menilai kes bekas hakim-hakim tersebut sekiranya terdapat bukti-bukti baru, tetapi pada masa ini tidak ada maka tidak perlu kerajaan tubuhkan panel baru," katanya.

Politik wang tewaskan Ku Li


Kegagalan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah untuk mendapat pencalonan bagi jawatan Presiden UMNO kecuali di bahagianya sendiri kerana enggan menyogok wang kepada perwakilan.

Pembantu Khas kepada Tengku Razaleigh, Datuk Kamal Ahmad ketika membuat dakwaan sedemikian berkata, pihaknya dihubungi perwakilan tertentu yang meminta wang sogokan sebelum pencalonan dibuat.

"Bagaimanapun kerana mempertahankan prinsip perjuangan , kami tidak sanggup berbuat demikian yang hasilnya Ku Li tidak mendapat pencalonan walaupun sebelum persidangan ramai pihak yang memberi jaminan akan memberikan pencalonan.

"Ada yang datang minta RM500 dan ada juga yang minta RM1000. tetapi kami tidak ada wang dan Ku Li tidak mahu sogokan dibuat kerana hasrat beliau menawar diri untuk membetulkan parti dan bukan untuk membeli jawatan," katanya.

Kamal yang berkesempatan menghadiri lebih 80 persidangan perwakilan bahagian UMNO baru-baru ini juga mendakwa gejala politik wang seolah-olah satu amalan yang direstui oleh anggota parti.

Katanya, walaupun pelbagai pihak melaungkan penghapusan politik wang dan sebagainya tetapi ia sekadar laungan sahaja kerana tidak ada usaha bersungguh-sungguh untuk menghapuskannya.

"Lihat sahaja dalam persidangan bahagian , tidak ada bahagian bahagian yang mengemukakan usul-usul membabitkan politik atau desakan yang serius bagi menghapuskan gejala tersebut.

"Ini seolah-olah ahli UMNO di peringkat akar umbi juga restu politik wang," katanya lagi.

Sementara itu, Kamal juga mendakwa proses pengundian secara angkat tangan juga menyebabkan Ku LI gagal mendapat pencalonan kerana ada perwakilan takut dicop oleh pihak tertentu.

Katanya, jika proses pencalonan sulit dibuat Ku LI masih ada harapan untuk mendapat pencalonan , contohnya di bahagian Muar, pengundian dibuat secara sulit, Ku Li turut mengumpul undi yang banyak walaupun gagal memperolehi pencalonan.

Bagi Teman..kalau macam ni dah jadi dengan UMNO, Teman setuju sangatlah dengan cadangan Datuk Seri Rais Yatim bahawa pemilihan parti patut dibuat melalui tender, sekurang-kurangnya dapat menjadi sumber menambah pendapatan untuk parti juga.

Muhd Taib mangsa politik ugut


Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Taib mendedahkan beliau menjadi mangsa politik ugut apabila ada pihak tertentu yang cuba menghalang perwakilan memberi pencalonan kepada beliau.

Menteri Pembangunan Luar Bandar itu berkata, ekoran gejala itu beliau bersama Datuk Seri Ali Rustam belum memperolehi pencalonan yang cukup bagi menawar diri bertanding jawatan Timbalan Presidan UMNO dalam pemilihan parti Mac depan.

Sehubungan itu Muhammad meminta kepada perwakilan memberi pencalonan sama rata kepada beliau dan Datuk Ali dan mengenepikan gejala ugutan yang bukan menjadi satu amalan dalam UMNO.

Beliau yang masih memerlukan sembilan lagi pencalonan bagaimanapun enggan mendedahkan pihak yang membuat ugutan dan bentuk ugutan yang diterima sama ada melalui telefon, SMS, surat atau sebagainya.

Sebelum ini Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad juga mendedahkan beliau menerima SMS yang berunsur ugutan oleh pihak tertentu yang memaksa beliau mencalonkan pemimoin tertentu.

Bagaimanapun Shahrir yang tidak membuat pendedahan lanjut juga tidak berhasrat melaporkan kes tersebut kepada pihak Polis.

Sementara itu menurut Muhammad lagi, menjelang pemilihan UMNO Mac nanti pelbagai gejala kurang sihat sedang melanda UMNO yang sekaligus boleh merosakkan parti itu.

"Antaranya ada pihak tertentu yang menabur fitnah dengan menyebarkan SMS kononnya saya menarik diri bertanding jawatan Timbalan Presiden.

"Sedangkan saya sendiri tidak pernah terlintas untuk berbuat demikian kerana ingin terus menyumbang khidmat bakti kepada parti dan rakyat.

"Tetapi sedihnya ada pihak yang cuba menjalankan kempen tidak sihat dengan membuat pelbagai fitnah," katanya.

Sehubungan itu, Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor itu mengesa ahli parti menolak sama sekali gejala yang kurang sihat itu dan memberikan pencalonan dan peluang kepada calon yang belum layak lagi.

Muhammad juga yakin beliau akan dapat memperolehi sembilan lagi pencalonan yang diperlukan lagi melalui 50 bahagian yang belum lagi mengadakan persidangan perwakilan bahagian hujung minggu ini.

Bagi Teman...berilah peluang kepada calon-calon yang sudah mengemukakan hasrat untuk bertanding bukan sahaja untuk Timbalan Presiden tetapi Naib Presiden, masih lagi yang belum cukup kuota seperti, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis, Datuk Seri Rais Yatim dan calon Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Nanti sama-sama kita nilai kemampuan masing-masing, tempoh kempen panjang lagi..biar jauhari mengenal manikam.

Wednesday, November 5, 2008

Nasib Melayuku



Peringatan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah supaya rakyat berfikiran rasional dan segera hentikan tindakan-tindakan yang bersifat politik secara berlebihan dan keterlaluan kena pada masanya.

Peringatan daripada institusi tertinggi yang memelihara ketuanan Melayu itu adalah wajar apa lagi kebelakangan ini bukan sahaja orang bukan Melayu yang berani pertikaian hak -hak Melayu bahkan kalangan pemimpin Melayu juga sudah berani berbuat demikian demi memenuhi tuntutan politik masing-masing.

Teman melihat dalam keghairahan mengejar cita-cita politik dan melayani kehendak segelintir pemimpin, pegangan terhadap memelihara hak orang Melayu dan sentiviti bangsa sendiri dah mula diketepikan.

Oleh itu peringatan Sultan Perak itu bukan sahaja ditunjukan kepada bukan Melayu sebaliknya kalangan orang Melayu sendiri yang perlu beri perhatian dan tidak hanya bermain sendiwara pilitik lagi.

Dalam keghairahan untuk merebut kuasa, seharusnya kalangan segelintir pemimpin Melayu tidak mudah mengorbankan prinsip bangsa sendiri, sebaliknya mereka tidak membuka ruang kompromi jika ada unsur-unsur yang memberi tekanan terhadap bangsa sendiri.

Sewajaranya mereka harus menjadi pemimpin pertama yang bangun menjadi benteng mempertahankan kedaulatan bangsa yang semakin tergugat ekoran kerakusan politik perkauman.

Sepertimana menurut Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Taib, ketuanan Melayu bukan sesuatu rektorik sebaliknya sebagai pegangan yang menuntut orang Melayu sendiri mempertahankannya.

Kalau bangsa Melayu sendiri yang masih bermain-main dengan ketuanan Melayu dan sekongkol dengan mereka yangs secara jelas menentang gagasan yang diasaskan bagi mengkukuhkan bangsa, ianya seolah-olah membuka pintu kepada golongan yang memang sentiasa mencari peluang bagai orang mengantuk di surungkan bantal.

Bagi Teman peringatan oleh Sultan Azlan itu menunjukkan betapa seriusnya gejala yang mengancam umat Melayu kini gara-gara kerana desakan politik.

Penubuhan PERKASA yang diasaskan oelh Datuk Ibrahim Ali juga walaupun boleh dianggap ketinggalan tetapi sekurang-kurang dapat menjadi wadah kepada perjuangan mempertahankan Ketuanan Melayu.

Terima Kasih kepada usaha gigih Datuk Ibrahim dan rakan-rakan beliau yang terpaksa bangun dalam kepayahan sewaktu anak bangsa memerlukan pembelaan.

Apa yang Teman harapkan lepas ni jangan le ada pula suara sinis manusia Melayu mempertikai usaha yang dijalankan oleh mereka itu yang khabarnya mula mendapat sokongan kalangan umat Melayu.

Sepatutnya semua pihak harus bangun menyokong usaha ini kerana sekurang-kurang masih ada orang Melayu yang bangun mempertahankan bangsa sendiri daripada Melayu yang sedang menafikan bangsanya demi fahaman politik dan tuntuntan untuk mengekalkan kuasa masing-masing.

Bagi Teman, jangan sampai kita menang jadi abu, kalah jadi arang. Melayu keran terus kekal berkuasa di Tanah Melayu.

Tuesday, November 4, 2008

Tahniah buat Najib


Teman ambil kesempatan nak ucap tahniah kepada Datuk Seri Najib Tun Razak yang sudah layak untuk diangkat sebagai Presiden UMNO dan seterusnya merangkap Perdana Menteri Malaysia ke enam.

Sekaligus perkembangan itu membuktikan teori RAHMAN hampir menjadi kenyataan apabila beliau telah memperolehi laluan mudah untuk mengambil kepimpinan daripada Abdullah Mac depan.

Menariknya proses pengantian ini dibuat melalui demokrasi walaupun beliau menang tanpa bertanding tetapi keputusan itu diputuskan oleh perwakilan UMNO dan akan umbi melalui 138 persidangan bahagian yang memilih beliau untuk menduduki kerusi nomborv wahid UMNO dan kerajaan itu.

Barangkali kejayaan itu turut menimbulkan pertikaian sesetengah pihak, tetapi perwakilan sudah memutuskann demikian.

Mengulas kejayaan beliau memenuhi kuota percalonan dan kejayaan itu, Najib melahirkan terharu dengan kepercayaan diberikan oleh perwakilan dan yakin proses pemulihan parti dapat dijalankan dengan lancar, bersih dan teratur.

Bagi Teman, apapun dengan keputusan itu, semua pihak harus akur sama ada daripada UMNO maupun kalangan bukan penyokong parti itu kerana proses demokrasi sudah berjalan dan ahli akar umbi sudah membuat pilihan mereka.

Bagaimanapun bagi Teman, perjalanan Najib masih lagi jauh, jalan berliku masih menunggu beliau di hadapan, pembangkang tentunya sudah menyediakan pelbagai peluru untuk membuat serangan terhadap bakal pemimpin utama negara.

Bermula dengan cerita cerita di blog dan SMS yang belum tahu kesahihannya, anak bekas Perdana Menteri kedua itu mula menerima serangan bertalu-talu dan tentunya usaha itu tidak akan berakhir disitu sahaja.

Menjelang Mac nanti akan ada banyak lagi pendedahan demi pendedahan akan dibuat. Tidak mustahil akan mula lagi akuan-akuan bersumpah dan sebagainya.

Apa yang menghairaikan Teman, menjelang pemilihan bahagian calon-calon yang menawar diri bertanding jawatan parti Mac nanti secara terbuka memberikan sokongan kepada Najib dan berikrar akan menyokong dan mempertahankan bos mereka itu.

Tetapi bila bakal bos mereka itu menerima kecaman dan pelbagai tuduhan, tidak pula yang muncul untuk mempertahankannya. Sebaliknya isu-isu tersebut dibiarkan begitu sahaja.

Teman tidak menyalahkan mereka, barangkali masing-masing sebok dengan kempen untuk mendapatkan pencalonan sehingg lupakan bos yang terpaksa keseorangan dalam menghadapi liku-liku untuk menuju ke kerusi utama tersebut.

Sepatutnya, kalau masing-masing sudah ikrar untuk memberikan sokongan dan sanggup bersama-sama bakal bos mereka itu, inilah masa yang sepatutnya "panglima perang" Najib bangun pertahankan beliau .

Bagi Teman, perjalanan buat Najib masih jauh.