Thursday, November 6, 2008

RM10.5j bayar 6 hakim


KUALA LUMPUR - Kerajaan hari ini mengumumkan telah membayar ex-gratia berjumlah RM10.5 juta kepada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dan lima lagi bekas hakim kanan yang terlibat dalam krisis kehakiman, 20 tahun lalu.

Salleh menerima bayaran tertinggi dengan RM5 juta, Tan Sri Azmi Kamarudin (RM2 juta), Tan Sri George Edward Seah Kim Seng (RM2 juta) manakala Tan Sri Wan Hamzah Mohd. Salleh, Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdolcadeer dan Allahyarham, Tan Sri Wan Sulaiman Pawanteh masing-masing mendapat RM500,000.

Jumlah bayaran itu diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz semasa menggulung perbahasan peringkat jawatankuasa Bajet 2009 bagi Jabatan Perdana Menteri pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beberapa Ahli Parlimen pembangkang termasuk Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong sebelim ini telah mendesak kerajaan supaya mendedahkan jumlah pembayaran ex-gratia itu yang diumumkan pemberiannya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada April lalu.

Mohamed Nazri berkata, bayaran itu bukanlah jumlah yang sesuai kerana ia melibatkan harga diri dan maruah bekas hakim-hakim berkenaan.

Nazri menambah, apa jua bentuk bayaran kepada bekas hakim-hakim itu, ia tidak bermaksud bahawa kerajaan bersalah.

Pembayaran ex-gratia itu dibuat sebagai menghargai sumbangan bekas hakim-hakim berkenaan yang terlibat dalam krisis kehakiman dan merupakan langkah kerajaan memulihkan semula kewibawaan badan kehakiman.

Ex-gratia tersebut telah diserahkan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Zaid Ibrahim pada Jun lalu kepada hakim-hakim terlibat.

Bagaimanapun Zaid enggan mendedahkan jumlahnya atas alasan permintaan oleh hakim berkenaan sendiri. Zaid meletakkan jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 15 September lalu.

Nazri menjelaskan, bekas hakim-hakim itu telah ditamatkan perkhidmatan lebih awal seperti saranan panel yang telah bersidang berhubung kes tersebut dan bukan dipecat oleh kerajaan.

"Sekiranya bekas hakim-hakim itu dipecat mereka tidak layak mendapat pencen tetapi kerana telah ditamatkan perkhidmatan, maka mereka layak dibayar pencen mengikut Akta Pencen," katanya.

Nazri juga memaklumkan, kerajaan bersedia untuk membentuk panel hakim lain bagi menilai semula kes bekas hakim-hakim terbabit sekiranya terdapat fakta baru.

"Saya pegang apa yang dikatakan sebelum ini bahawa kerajaan bersedia untuk menubuhkan panel lain untuk menilai kes bekas hakim-hakim tersebut sekiranya terdapat bukti-bukti baru, tetapi pada masa ini tidak ada maka tidak perlu kerajaan tubuhkan panel baru," katanya.

No comments: