Friday, November 7, 2008

Siapa Pilihan Najib


Datuk Seri Najib Razak masih lagi belum memutuskan siapakah yang bakal menyandang kerusi No 2 yang diduduki beliau sekarang sekaligus mengecewakan harapan kebanyakan ahli UMNO.

Najib yang telah pasti kedudukannya sebagai bakal Presiden UMNO selepas Tengku Razaleigh Hamzah gagal mendapatkan jumlah pencalonan yang secukupnya bagi bertanding jawatan tersebut, masih belum mengumumkan sokongan beliau terhadap mana-mana calon untuk jawatan Timbalan Presiden meskipun terhadap calon yang disebut-sebut Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Keputusan sidang perwakilan UMNO bahagian Pekan esok dijangka tidak akan memberi apa-apa gambaran memandangkan bahagian tersebut belum memutuskan samada akan membuat pencalonan atau sebaliknya. Keputusan muktamad akan diketahui hari ini.

Walaupun Muhyiddin dikatakan sebagai pilihan beliau tetapi Najib sepertinya tidak mahu menyatakan sokongannya terhadap calon yang berasal dari Johor itu secara terbuka kerana ia seperti membelakangkan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Muhyiddin dikatakan telah mendesak Abdullah supaya menyerahkan jawatannya lebih awal dari tarikh yang diumumkan.

Sebahagian ahli UMNO mulai gusar akan timbulnya perebutan kuasa di antara Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Menteri Penbangunan dan Kemajuan Luar Bandar Tan Sri Muhammad Muhd Taib jika Najib masih terus membisu mengenai siapakah yang bakal menggantikan beliau.

Hujung minggu ini dijangkakan bakal menjadi saat getir bagi kedua-dua calon yang mana Mohd Ali masih memerlukan 7 lagi pencalonan manakala Muhammad pula memerlukan 10 pencalonan bagi melayakkan mereka bertanding jawatan Timbalan Presiden Mac ini.

Dengan baki 49 bahagian yang masih belum bermesyuarat setakat ini, para pemerhati merasakan kedua-dua calon ini bakal melepasi kuota yang ditetapkan dan keadaan mungkin akan menjadi lebih mudah jika Najib memberi gambaran siapa yang bakal menjadi timbalannya.

Dalam pada itu, terdapat cakap-cakap yang mengatakan lawatan Najib ke Peru minggu depan sempena Forum Ekonomi Asia Pasifik (Apec) sebagai satu gambaran sokongan beliau terhadap Muhyiddin, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri .

Terdapat sesetengah ahli perwakilan menyoal kekerapan penyertaan kementerian yang diketuai Muhyiddin ke Persidangan Apec, sesetengah lagi menyimpulkan bahawa ia sebagai satu tanda sokongan Najib. - MALAY MAIL.

1 comment:

Anonymous said...

Salam untuk Semua pembaca!
Saya rasa ada eloknya Najib tidak menyebelahi mana-mana pihak kerana tindakan tersebut akan memberi sati impak yang besar dan memberi satu gambaran buruk terhadap Najib.Didalam hal ini mereka-mereka yang bertanding jangan melabelkan diri mereka dalam satu regu dengan Najib dan mengugut Najib tentang pengorbanan mereka tempoh hari