Tuesday, November 11, 2008

Wanita dah jadi kalam kabut


Nampaknya isu peralihan kuasa Pergerakan Wanita UMNO sebagaimana yang diputuskan dalam mesyuarat Exco Isnin lalu tak selesai begitu saja.


Walaupun kalau tengok gambar dalam sidang akhbar yang diadakan selepas itu, semua mereka tersenyum seolah-olah tidak ada apa-apa berlaku dan Tan Sri Rafidah Aziz masih boleh memimpin Wanita sampai Jun depan.


Tetapi, bila membaca kenyataan akhbar yang dikeluarkan Naib Ketua Pergerakan itu, Datuk Seri Shahrizat Jalil, nampaknya keadaan menjadi sebaliknya, begitu juga dengan pendirian calon Naib Ketua Datuk Kamalia Ibrahim.


Keadaan ini terjadi kerana hasrat Rafidah untuk terus mengekalkan proses peralihan kuasa sampai Jun depan dan tidak memberi laluan kepada Shahrizat untuk mengambil alih kepimpinan dalam pemilihan Mac nanti.


Walaupun Rafidah mempunyai alasan yang kukuh untuk terus mengekalkan jawatan beliau dalam pemilihan agung Mac nanti kerana jumlah pencalonan yang diperolehi tetapi bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu seharusnya melihat sentimen lain yang mahukan beliau berundur.


Dengan pelbagai alasan yang diberi, tetapi bila sebahagian ahli pergerakan itu sudah membayangkan hasrat mereka untuk Rafidah berundur adalah lebih wajar bagi beliau memberi laluan kepada Shahrizat.


Kalaulah untuk memelihara perpaduan, inilah waktu yang terbaik bagi Rafidah untuk memberi laluan kepada Shahrizat yang sekaligus juga membuka peluang kepada Kamalia untuk menduduki kerusi Naib Ketua.


Bagi Teman, proses ini adalah yang terbaik walaupun bukan mudah bagi Rafidah untuk melepaskan begitu sahaja kerusi berkenaan, tetapi demi memelihara perpaduan, tidak salah bagi beliau sebagai seorang pemimpin besar membuat suatu pengorbanan yang besar juga.


Kalau keadaan ini berterusan, yang mempersetujui proses peralihan kuasa hanya kalangan 27 ahli Exco pergerakan itu sahaja, bagaimanapun dengan hasrat 73 bahagian yang mencalonkan Shahrizat untuk jawatan Ketua dan 55 bahagian yang mahukan Kamalia menjadi Naib Ketua.


Dalam keadaan UMNO yang semakin sakit ini, apa yang diperlukan daripada pemimpin parti itu ialah membuat pengorbanan.


Sepertimana kata, bekas Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Aishah Ghani, alasan untuk mengelakkan perpecahan sukar untuk diterima dan beliau tidak nampak alasan kukuh untuk tidak mempercepatkan pelan peralihan kuasa melainkan Rafidah masih menyimpan hasrat untuk kembali ke jawatan kabinet.


Bagi Teman, kenyataan bekas Ketua Wanita yang pernah memberi laluan kepada Rafidah itu harus dijadikan renungan kepada bukan sahaja Rafidah tetapi juga kalangan barisan Ecxo yang masih mengharapkan bos mereka itu akan terus kekal.


Lagipun tempoh selama tiga bulan apa yang mampu dilakukan Rafidah untuk memperkukukan parti sebaliknya selepas itu, Shahrizat hanya memegang jawatan pemangku Ketua selama satu penggal.


Bagaimana pula bagi Shahrizat yang bukan sahaja menjadi pemangku Ketua Wanita tetapi kedudukan beliau dalam barisan kepimpinan Wanita Barisan Nasional. Apakah rakan-rakan dalam barisan Wanita BN boleh bekerja dengan ketua mereka yang hanya bertaraf pemangku sahaja, ataupun beri sahaja laluan kepada Ketua Wanita MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun untuk mengetuai barisan kepimpinan Wanita BN.


Tentunya kalau cadangan itu dilontarkan, semua ahli Wanita UMNO tidak akan bersetuju, tetapi itulah hakikatnya kalau sesama sendiri tidak mahu bertolak ansur yang rugi bukan sahaja Rafidah, Shahrizat atau barisan Exco tetapi UMNO keseluruhannya.


Bagi Rafidah yang sudah lama dalam barisan kepimpinan parti dan kerajaan tentunya lebih arif dengan kesannya nanti apa lagi sejak kebelakangan ini rakan-rakan dalam kompenan BN sendiripun kadang-kadang sudah sukar untuk dipegang 'tali' mereka.


Banyak sangat kes-kes lempar batu sembunyi tangan. dan pukul anak sindir menantu.


Bagi Teman, apapun masa masih terlambat untuk semua pemimpin pergerakan Wanita UMNO memikirkan kembali apa yang harus dilakukan. Kalau Datuk Seri Abdullah Badawi sendiri sudah bersedia melepaskan kerusi empuknya itu kepada Najib Mac nanti....yang lain pun patut fikir-fikir juga. Sendiri mau ingat.

No comments: