Saturday, November 22, 2008

Wanita UMNO yang ego


Agenda pemilihan pucuk pimpinan Pergerakan Wanita UMNO sudah masuk bahagian kedua. Datuk Seri Shahrizat sudah mengumumkan hasratnya untuk bertanding jawatan nombor satu, manakala seperti yang dijangka, Tan Sri Rafidah Aziz juga akan mempertahankan jawatan tersebut.

Kedua-dua pemimpin itu memberikan alasan "demi perpaduan" mereka mengambil keputusan tersebut yang sekaligus mengepikan proses peralihan kuasa pergerakan itu Jun depan sebagaimana diputuskan mesyuarat Exconya sebelum ini.

Kalau demi perpaduan, Teman rasa elok sangatlah apa lagi dalam keadaan UMNO yang semakin sakit sebagaimana yang diakui sendiri oleh Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Tapi yang peliknya, kalau alasan perpaduan..macam mana pula boleh timbul macam-macam cerita bila kedua-dua pemimpin itu membuat keputusan untuk bertanding dan mempertahankan jawatan.

Ada wanita di peringkat negeri sudah membuat kenyataan terbuka untuk menyokong Datuk Seri Shahrizat dan bercanggah pula dengan Ketua Wanita negeri yang memberikan sokongan kepada Rafidah untuk mempertahankan jawatan.

Johor, misalnya, Ketua Wanita UMNO negeri, Datuk Halimah Saddique secara terbuka menyokong Rafidah dan turut mendakwa pengerakan Wanita di negeri itu akan memberikan sokongan pada kepada Rafidah.

Sehari selepas itu pula, Naib Ketua Wanita UMNO Negeri, Senator Sharifah Azizah Syed Zain pula menafikan kenyataan ketuanya dan secara terbuka juga memberikan sokongan kepada Shahrizat.

Begitu juga dengan apa yang berlaku di Perak, 22 daripada 24 Wanita UMNO bahagian negeri itu sudah membuat kenyataan terbuka untuk memberikan sokongan kepada Shahrizat walapun ada bahagian yang sebelum ini memberikan pencalonan kepada Rafidah.

Malahan mereka juga turut mendedahkan, pihaknya telah dipaksa untuk memberikan pencalonan kepada Rafidah sebelum ini dan pendedahan itu amat mengejutkan.

Sabah dan Pulau Pinang tidak terkecuali telah membuat kenyataan terbuka yang jelas ada sedikit pencanggahan di antara barisan kepimpinan bahagian dengan Ketua Wanita negeri masing-masing.

Bagi Teman, perkembangan ini jelas bahawa apa keputusan dan alasan yang dibuat oleh kedua dua tokoh Wanita itu, tetap mengundang perpecahan atau perang dingin dalam pergerakan itu yang menuntut pengorbanan antara mereka.

Adalah lebih baik salah seorang daripada mereka memikirkan kembali keputusan yang diputuskan itu dan ketepikan oge masing-masing kalau ikhlas ingin melihat perpaduan dalam pergerakan itu.

Rafidah yang sudah lama memimpin pergerakan itu dan hanya mau meneruskan khidmatnya bagi tempoh tiga bulan lebih eloklah fikir-fikirkan balik keputusan yang dibuat melalaui kenyataan akhbar 11 muka baru-baru ini.

Tak guna kita mempertahankan prinsip tapi yang akan rugi UMNO dan ahli pergerakan itu sendiri. Sepatutnya kita tidak perlu merasa malu berundur diri sewaktu kepimpinan kita mula ditolak. Pemimpin boleh datang dan pergi tetapi UMNO tidak boleh dibiarkan menjadi mangsa percaturan politik peribadi.

Bagi Teman, jangan sampai Wanita UMNO akan ditolak dek kerana meluat dengan kerenah kepimpinan kerana sudah ada yang sedang berkira-kita untuk bersara dalam pergerakan itu untuk berhijhrah kepada Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) pimpinan YB Zuraidah yang nampaknya tak banyak isu remeh-temeh yang timbul.


Bagi Teman, jangan sampai Wanita UMNO ini akan jadi sebagaimana kata perpatah, menang jadi arang, kalah jadi abu...