Saturday, November 8, 2008

Khir tak mau jawatan ke tak perlu jawatan


Tiba tiba sahaja calon Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Khir Toyo mengumumkan beliau tidak mahu sebarang jawatan dalam kerajaan sekiranya terpilih sebagai Ketua Pemuda UMNO dalam pemilihan agung parti Mac depan.

Menurut bekas Menteri Besar Selangor itu lagi, beliau lebih selesa bergerak di peringkat bawahan untuk memantapkan parti.

Bagi Teman, kenyataan yang dibuat di Sungai Besar itu tidak lebih sebagai salah satu pemanis bicara dan sekadar mencetuskan isu bagi memanaskan semula kempen pemilihan Ketua Pemuda yang mulai dingan selepas persidangan perwakilan bahagian sudah berada di penghujung.

Jika benar kenyataan yang dibuat oleh Khir itu benar-benar ihklas, beliau tidak perlu menunggu sehingga selesai persidangan perwakilan, sebaliknya di buat di peringkat awal sewaktu pengumuman rasmi beliau untuk sama-sama turun ke gelanggang Pemuda.

Tentunya jika beliau memilih untuk berbuat demikian sebelum ini, mudah bagi perwakilan bahagian yang telah mecalonkan beliau membuat penilaian dan petrtimbangan sama ada akan terus memberikan pencalonan atau sebaliknya.

Sehingga kini Khir memperolehi 62 pencalonan dengan mengatasi Khairy Jamaluddin yang hanya mengumpul 52 pencalonan. Bagaimanapun Datuk Mukriz Tun Mahathir sudah mendahului kedua-dua calon tersebut dengan 74 pencalonan.

Ini tentunya kerana sebahagian perwakilan yang mencalonkan Wak Khir juga mengharapkan bakal Ketua Pemuda yang dipilih mereka nanti bukan sahaja akan berada dalam barisan kepimpinan parti di peringkat Majlis Tertinggi sebaliknya juga turut berada dalam barisan kabinet.

Melalui saluran kabinet juga, mereka dapat menyuarakan pandangan dan mengemukakan cadangan selain mendapat sedikit habuan yang bukan politik wang tetapi wang untuk berpolitik bagi memudahkan lagi perjalanan bahagian masing masing.

Melihat sejarah Pemuda UMNO sendiri, sebahagian bekas Ketua Pergerakan itu berada dalam kabinet dan tidak ada mereka yang gagal atau dikongkong daripada menegur pemimpin walaupun berada dalam kerajaan.

Lihat sahaja pemuda di zaman Datuk Harun Idris, beliau sewaktu itu memegang jawatan Menteri Besar Selangor tetapi masih bersuara lantang yang bukan sahaja memperjuangkan pergerakan itu, malahan turut mengkritik kepimpinan kerajaan.

Begitu juga Pemuda di era Datuk Suhaimi Kamaruddin, sebagai Timbalan Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga memegang jawatan Menteri , Tan Sri Rahim Tamby Chik sebagai Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hinggakan kepada Datuk Seri Hishamuddin Tun Huseein Onn.

Kalangan mereka ini ada yang berjaya memimpin pergerakan Pemuda menjadi badan pendasak, pemuda tahan lasak dan sebagainya dan tentunya kedudukan dalam kerajaan bukan halangan kearah mengembalikan kegemilangan pergerakan itu yang semakin dipandang lemah dan lesu.

Kalau Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Selangor itu merasakan beliau lebih selesa berada di luar kerajaan bagi memudahkannya bergaul dengan kalangan ahli Pemuda dan tidak akan meminta jawatan dalam kerajaan juga seolah-olah kenyataan itu boleh diibaratkan sebagai hidung tak mancung pipi tersorong-sorong .

Bagi Teman, ini kerana dengan jumlah pencalonan yang kedua terbanyak, belum pasti ia menjanjikan kemenangan kerana yang jelas pencalonan bukan melambangkan undi sebenar kerana ada juga calon yang memperolehi pencalonan dengan mengunakan kuasa ghaib dan kuasa yang paling ketara ialah menggunakan kertas yang mengandungi "tanda tangan Gabenor Bank Negara ".

Selain itu perlantikan seseorang itu dalam kabinet bukan diputuskan oleh pemimpin itu sendiri sebaliknya kuasa mutlak Perdana Menteri, tidak ada sesiapa yang boleh menentukan sama ada mahu berada di dalam atau di luar kerajaan sekiranya memenangi kerusi yang ditandingi mereka dalam pemilihan agung parti nanti.

Sepatutnya dalam keghairahan mengira pencalonan yang diperolehi, Khir harus berikrar dan berjanji kepada perwakilan untuk melaksanakan amanah yang diberikan nanti dengan sebaik mungkin, mengembalikan kegemilangan pergerakan itu dan melaksanakan agenda perjuangan untuk bangsa yang belum selesai.

Itupun sekiranya benar-benar perwakilan akan menterjemahkan apa yang mereka putuskan dalam persidangan perwakilan baru-baru ini kepada undi dalam pemilihan Mac nanti.

Bagi Teman, janganlah terikut-ikut dengan rentak pencalonan , kita sudah mula melupakan harapan sebenar kalangan anggota akar umbi kepada kita...adalah terlalu awal untuk meletakkan diri kita sama ada layak duduk dalam kabinet atau apa sahaja.

Teman masih ingat Wak Khir tersilap bagi hadiah penyapu yang akhirnya Pakatan Rakyat sapu Selangor dan kali ini jangan awal awal umum tidak mahu berada dalam kerajaan, nanti tak sempat nak rasa kerusi Pemuda...perjalanan masih jauh..

Dari Sungai Besar ke Kuala Lumpo,
Singgah di Kelang beli berangan,
Belum ada apo-apo,
Jangan pula dok angan angan.

No comments: