Sunday, November 9, 2008

Selamat berjuang buat Muhyiddin, Muhd Taib dan Ali Rustam



Teman nak ucap tahniah kat Tan Sri Muhammad Taib dan Datuk Seri Ali Rustam, akhirnya mereka dapat juga bersama-sama Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menawar diri bertanding jawatan kedua tertinggi dalam UMNO yang sekaligus bakal menjadi orang nombor dua dalam kerajaan selepas perhimpunan agung UMNNO Mac nanti.

Walaupun sebelum ini sudah ada ramalan mereka bertiga layak bertanding ,yang sekaligus mencipta sejarah dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden UMNO kerana akan berlakunya pertandingan tiga penjuru untuk jawatan tersebut yang sebelum ini hanya memperlihatkan pertandingan dua penjuru sahaja.

Dengan berakhirnya persidangan perwakilan hari ini, kecuali beberapa lagi bahagian yang menghadapi masalah membuktikan ahli UMNO sudah matang dan berani membuat sesuatu keputusan tanpa dipengaruhi anasir lain.

Sebagaimana yang berlaku terhadap Tan Sri Muhammad Taib, yang mendakwa beliau telah disekat untuk mendapatkan pencalonan disamping pelbagai berita palsu disebarkan kononnya beliau akan menarik diri dan sebagainya.

Tetapi akhirnya ahli parti sudah memutuskan untuk memberi peluang kepada mereka mencuba nasib untuk menduduki kerusi yang bakal dikosongkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak yang bakal diangkat sebagai Presiden parti bagi mengantikan Datuk Seri Abdulla Badawi Mac depan.

Begitu juga dengan pencalonan yang diperolehi dari luar negeri sendiri, sebagai bukti politik kenegerian juga bukan menjadi pilihan para perwakilan sebagaimana kejayaan Muhammad memperolehi undi dari Tenggara Johor dan Lipis , Pahang.

Begitu juga dengan pencalonan yang diperolehi Ali Rustam, walaupun Melaka sudah selesai mengadakan persidangan masing-masing beliau masih menambah pencalonan dari luar negeri itu, antaranya Rembau dan Ipoh Timur dan begitu juga dengan Muhyyidin melalui UMNO Libaran Sabah dan Temerloh Pahang.

Bagi Teman perkembangan ini juga menunjukkan ahli UMNO mahu akar umbi yang bakal memilih pemimpin MAC nanti telah menjalankan amanah pertama mereka. Hanya menunggu satu lagi amanah besar yang harus diterjemahkan Mac nanti.

Sekarang terserah kepada pemimpin berkenaan untuk membuktikan kemampuan masing-masing dan mengambil hati perwakilan kerana pencalonan bukan satu jaminan untuk mereka memperolehi undi kerana apapun yang paling penting, undi akan menentukan nasib mereka yang sebenar.

Bagaimanapun dalam usaha menawan hati perwakilan , tidak haruslah dicampur aduk dengan gejala tidak sihat, fitnah memfitnah , buruk memburuk sesama sendiri kerana apapun pemilihan ini adalah untuk memilih pemimpin dalam keluarga sendiri, janganlah sampai menang jadi arang, kalah jadi abu.

Teman yang tinjau-tinjau blog kawan-kawan ada juga terjumpa kempen kurang sihat dan tuduh menuduh dan gejala ini perlu dihentikan segera.

Selamat berkempen...

No comments: