Monday, November 10, 2008

Dilema buat Shahrizat..


Keputusan mesyuarat Exco Pergerakan Wanita UMNO Malaysia hari ini walaupun sudah dijangka agak mengejutkan juga.

Yang dijangkanya ialah bagaimana Tan Sri Rafidah Aziz tidak mudah melepaskan jawatan beliau begitu sahaja dan yang mengejutkan pula bagaimana setianya Datuk Seri Shahrizat Jalil dengan ketua beliau hinggakan sanggup mengenepikan perasaan sebilangan ahli pergerakan itu.

Barangkali tindakan Shahrizat itu boleh dipuji kerana menjadi seorang penyokong yang paling setia kepada bosnya dan meletakkan kepentingan barisan kepimpinan melebihi parti dan sebahagian besar akar umbi.

Apa tidaknya, kalau lihat sahaja daripada pencalonan yang diperolehi beliau, sebanyak 74 bahagian sudah cukup untuk dibuat ukuran bahawa sudah hampir 40 peratus perwakilan Wanita UMNO mahukan perubahan kepimpinan dan memilih Shahrizat untuk mengetuai pergerakan itu.

Bagaimanapun dek akur kepada keputusan mesyuarat exco pergerakan itu yang memutuskan proses peralihan kuasa kekal Jun tahun depan, beliau terus sahaja akur walaupun selepas tarikh itu Shahrizat hanya mampu dipanggil pemangku Ketua Wanita UMNO.

Walaupun tempoh tersebut agak panjang iaitu sekurang-kurangnya 2011 , tetapi demi kesetiaan yang tidak berbelah bagi itu beliau tentunya sanggup berkeadaan sedemikian. Barangkali kali ini juga Wanita UMNO mencipta sejarah tersendiri apabila jawatan pemangku paling lama di pegang.

Biasanya jawatan seperti ini hanya dipengang untuk beberapa masa yang singkat sahaja atas sebab yang tidak dapat dielakkan. Yang hairannya selepas ini Wanita UMNO akan diketuai Pemangku dan tidak ada jawatan Naib Ketua.

Jika keadaan sedemikian, mampukah bagi Shahrizat untuk memimpin pergerakan itu terutama menjelang pilihanraya umum ke 13 nanti, lagipun kalau alasan Rafidah untuk membimbing Shahrizat mengetuai Wanita, apakah tempoh tiga bulan sudah mencukupi.

Bagitu juga dengan keputusan Datuk Kamalia Ibrahim yang tidak akan akur dengan keputusan mesyuarat Exco dan menegaskan akan tetap bertanding jawatan Naib Ketua Wanita, apa akan terjadi kepada Shahrizat.

Kalau Shahrizat memilih untuk mempertahankan jawatan Naib Ketua, tentunya beliau akan menghadapi tentangan daripada Kamalia atau memilih untuk bertanding jawatan Ketua pula akan berdepan dengan Rafidah.

Apapun, Shahrizat perlu membuat perhitungan yang tepat kerana sokongan kalangan akar umbi terhadap beliau masih kuat dan hasrat lebih 40 peratus persidangan perwakilan harus diambil kira.

Apapun masa masih belum terlambat, kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bahawa ibu pejabat tetap akan mengeluarkan surat tawaran kepada mana-mana calon yang layak bertanding termasuk Shahrizat adalah kesempatan yang terbaik buat Penasihat Khas kepada Perdana Menteri itu.

Bagi Teman, pisau dan timun ditangan Shahrizat, pandai-pandailah membuat perhitungan , jangan sampai yang dikejar tak dapat dikandung keciciran.

2 comments:

jeanbara said...

Saudara Baha,
Ini satu lagi contoh politik tektikal, yang budayanya sudah tidak sesuai dengan zaman. Tidak ada siapa pun yang waras akalnya boleh mencari rasional di sebelah kemahuan Rafidah untuk terus bertahan - walaupun cuma selama tiga bulan selepas kemuncak pemilihan.

Tindakan-tindakan seperti ini, tak dapat tidak akan mengundang syak wasangka; akan menyebabkan orang berkata, Rafidah ada apa-apa...dan yang buruknya nanti tentulah UMNO juga.

Rafidah bercakap tentang ada orang meletakkan kepentingan diri lebih daripada kepentingan parti. Agaknya dia sedang menuding pada dirinya sendiri. Wallahuaklam.

BAHA AZUWAN said...

Salam jeanbara...

Barangkali ini antara bukti sikap setengah pemimpin Melayu yang tamak kuasa walaupun bangsa sendiri boleh hancur.

Mungkin kerana ada agenda peribadi yang belum selesai terpaksalah memberi pelbagai alasan untuk menafikan hasrat sebahagian ahli parti.

Kesian bukan sahaja kat wanita UMNO, tapi orang Melayu keseluruhanya. Kesian kat bangsaku kerana masih ada pemimpin yang macam ni..