Saturday, November 15, 2008

Bukan kerana kami kawan baik - Tengku Adnan


PUTRAJAYA - Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menegaskan keputusan membenarkan Ahli Parlimen Larut, Datuk Hamzah Zainuddin untuk bertanding sebagai Ketua UMNO Bahagian Larut bukan dibuat atas dasar beliau adalah kawan baiknya.

Sebaliknya, kata beliau, keputusan tersebut adalah berdasarkan peraturan sebagaimana kebenaran diberikan kepada Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir bertanding di Kulim/ Bandar Baharu, Kedah setelah bertukar dari UMNO Bahagian Baling.

Selain itu, katanya, bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Osman Desa juga dibenarkan bertanding di UMNO Bahagian Sik setelah bertukar dari Kepala Batas, Pulau Pinang manakala Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Noraini Ahmad dibenarkan bertanding apabila ditukar ke bahagian Parit Sulong, Johor.

"Ada orang kata dia (Hamzah) kawan baik saya sedangkan bukan dia seorang sahaja yang boleh bertanding.

"Dia boleh (bertanding) kerana dia tidak menggunakan hak dia di cawangan dan bahagian yang lama tetapi orang tidak mahu dengar peraturan. Kenapa takut pada bayang-bayang," soalnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis berkhatan beramai-ramai anjuran Unit Berkhatan, Jabatan Pembedahan, Hospital Putrajaya di sini hari ini.

Beliau mengulas pendirian Jawatankuasa UMNO Bahagian Larut sebelum ini, secara sepakat menolak pencalonan Hamzah yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan bertanding jawatan Ketua Bahagian itu.

Ketuanya, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar dilaporkan berkata, Hamzah tidak layak bertanding kerana menjadi ahli UMNO bahagian itu selepas 31 Disember 2007, sekali gus melanggar pekeliling yang dikeluarkan Ibu Pejabat parti.

Bagaimanapun pada 9 November lalu, seramai 74 daripada 97 KetuaUMNO cawangan di bahagian Larut mendesak supaya Hamzah bertanding merebut jawatan Ketua Bahagian itu.

Menurut Tengku Adnan, UMNO Bahagian Larut diberikan kelonggaran bagi mengadakan persidangan perwakilan bahagian selepas 9 November lalu, ekoran 6 mesyuarat cawangan dan 16 cawangan Puterinya dipertikaikan kesahihannya.

Dalam pada itu, beliau yang cukup kesal dengan insiden pertelagahan dan pergaduhan selain politik wang pada pemilihan bahagian berkata, UMNO sekarang sedang sakit, parti saya sakit.

"Saya akan beri dos yang lebih bagi mengubati bahagian-bahagian yang terbabit.

"Kalau tidak, kita tidak akan berubah. Kalau kita sakit tetapi ubat yang diberikan tidak mengikut sukatan, macam mana hendak sembuh," katanya.

Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berkata, beliau juga tidak kisah jika ada pihak yang tidak senang dengan tindakannya itu kerana apa yang penting, UMNO perlu diperkuatkan semula bagi memenangis pilihan raya umum akan datang.

No comments: