Thursday, October 30, 2008

Bila Khalid jadi boneka


Teman tidak terperanjat dengan langkah kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang melantik Low Siew Moi sebagai Pemangku Pengurus Besar, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sebagaimana yang diumumkan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrhaim baru-baru ini.

Kalau melihat rentetan beberapa perkembangan yang berlaku di Selangor sejak lepas pilihan raya umum lalu, apa yang diumumkan Khalid bukan sesuatu yang luar biasa, malahan sebelum ini pelbagai lagi perkara lebih besar dibuat oleh kerajaan negeri.

Daripada ternakan babi di Sepang kepada isu penghapusan kuota 10 untuk pelajar bukan bumiputera di Universiti Teknologi Mara, kemudiannya kepada isu peruntukan RM10 juta kepada sekolah Cina dan Tamil seterusnya membawa kepada perlantikan Pemangku Pengurus Besar PKNS itu.

Walaupun isu tersebut dilihat kecil oleh sesetengah pihak dan cuba dikaitkan sebagai perkauman, tetapi yang jelas tindakan itu tentunya bercanggah dengan tradisi yang menjadi amalam sebelum ini.

Bagi Teman keputusan yang dilakukan oleh Menteri Besar itu kerana ingin mengambil hati dan mahu mendapatkan sokongan masayarakat bukan Melayu bagi menyokong Parti Keadilan Rakyat disamping untuk memuaskan hati pihak tertentu dalam parti dan kerajaan mereka.

Khalid sentiasa bernasib baik, usaha beliau itu tidak bersendirian sebaliknya tindakan yang boleh menghakis pengaruh dan penguasaan orang Melayu itu mendapat sokongan jita dari PAS yang mempertahankan perlantikan tersebut.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Ali dilaporkan berkata, bukan bumiputera boleh dilantik kerana tidak ada undang-undang yang menetapkan jawatan tersebut dihadkan kepada bumiputera.

Kenyataan Hassan diperkukuhkan lagi dengan kenyataan Timbalan Pesuruhjaya Pas, Iskandar A Samad bahawa parti itu aakan mencadangkan dua nama tokoh korporat Melayu bagi mengisi jawatan Pengurus Besar PKNS itu.

Bagi Teman, dua kenyataan daripada orang kuat PAS itu sudah cukup membuktikan mereka setuju dan merestui tindakan Khalid itu dan ianya barangkali terpaksa dilakukan demi memperkukuhkan politik masing-masing.

Apapun perkembangan itu jelas membuktikan Khalid dan rakan-rakan Melayu beliau dalam barisan Exco kerajaan negeri terpaksa membayar nilai politik semahal itu demi memperkukuhkan gabungan mereka.

Perkembangan itu juga sekaligus terbukti Khalid sebagai seorang Menteri Besar boneke sahaja.

Apapun keputusan walaupun terpaksa menyinggung perasaan anak bangsa sendiri perlu diambil kerana tuntutan rakan-rakan lain yang lebih berkuasa dalam pentadbiran politik negeri itu.

Walaupun Pergerakan Pemuda UMNO Selangor, dibawah kepimpinan Abdul Shukur Idrus menyerahkan memorandum bantahan perlantikan tersebut kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, tentunya Menteri Besar akan mempertahankan tindakan beliau yang disifatkan hanya bersifat sementara sahaja.

Persoalanya, apakah setiap isu yang dibangkitkan oleh kerajaan negeri perlu membabitkan Sultan untuk campur tangan sedangkan adalah lebih wajar sekiranya isu seperti itu tidak terus dicetuskan dari awal lagi.

Bagi Teman, janganlah sampai setiap kali orang Melayu dan pemimpin politik Melayu terpaksa membabitkan Istana Kayangan dalam memastikan kestabilan dan penguasaan Melayu terus kekal di negeri tersebut.

Walaupun tidak ada dalam perlembagaan dan peraturan tetapi keprihatinan memelihara kepentingan orang Melayu harus dijadikan agenda utama dalam membuat sebarang keputusan.

Tidak hairanlah kalau ada bangsa lain sudah berani mempersoalkan hal Melayu kalau bangsa sendiri masih bersedia untuk bertolak ansur dalam isu-isu yang tidak sepatut digugat lagi.

Teman bukanlah mengamalkan fahaman perkauman,jauh sekali bersifat prajudis tetapi dalam isu tertentu eloklah kita tidak perlu bertolak ansur dan mengamalkan prinsip kesamarataan, kerana tidak ada banyak ruang lagi untuk orang Melayu bernaung.

Bagi Teman, kalau Melayu tak pertahan Melayu siapa lagi Tan Sri.?

1 comment:

ruff said...

"kalau Melayu tak pertahan Melayu siapa lagi Tan Sri.?"
tau xpe..