Thursday, October 23, 2008

Majlis Hari Raya Datuk Ali meriah


Teman sempat menghadiri majlis hari raya Ketua Menteri Melaka, Datuk Ali Rustam yang diadakan di Rumah Melaka, dekat sini petang Khamis semalam.Majlis agak meriah dengan kehadiran anak-anak Melaka yang menetap di Kuala Lumpur disamping orang politik dan rakan rakan media dari sekitar Lembah Klang.

Majlis yang sudah menjadi satu tradisi bagi Datuk Ali itu bukan sahaja dapat mengeratkan siratulrahim tetapi dapat merapatkan anak-anak Melaka dengan pemimpin dari negeri mereka. Kenal mengenali dan bertukar fikiran. Kata orang tak kenal maka tak cinta.

Majlis seperti itu bukan kali pertama yang sempat Teman hadir, sebelum ini juga Teman pernah ke majlis makan durian dan sepetang bersama Datuk Ali yang turut diadakan di rumah Melaka yang sentiasa tidak sunyi dengan aktiviti itu.

Kalaupun Melaka tidak jauh dari Kuala Lumpur tetapi majlis seperti itu dapat merapatkan lagi hubungan antara Melaka dengan rakan rakan di Lembah Klang dan dapat bertemu rakan-rakan lama. Usaha murni itu patut diikuti oleh negeri lain juga,apa lagi kesempatan hari baik bulan yang baik ini.

Datuk Ali dan keluarga tak senang duduk melayan tetamu termasuk kehadiran Tuan Yang DiPetuan Negeri, Tun Khalil Yaakob dan beberapa menteri kabinet, antara yang Teman berjumpa termasuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang datang bersama isteri Datin Hamidan.

Selain itu, ramai juga orang politik turut sama hadir yang bukan sahaja dari Kuala Lumpur , Selangor dan kawasan sekitarnya, ada juga Teman bertemu dengan pemimpin dari Sabah, Pahang dan Johor.

Bisik seorang rakan kepada Teman, kalau sambutan macam ni tak hairanlah Datuk Ali yang belum cukup pencalonan untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO, yakin dapat menambah pencalonan lagi hujung minggu ini.

Majlis hari raya bukan lah untuk berkempen, tetapi kehadiran sebegitu ramai dapat membuktikan Datuk Ali masih mendapat sokongan dan diminati ramai orang politik.

Tak hairanlah Teman nampak ada yang berbisik bisik dengan Datuk Ali, cuma Teman harap Datuk Ali tak leka dengan bisik bisik tu, sebagai orang lama dalam politik tentu beliau lebih arif.

Jangan sampai sokong bawa rebah Datuk !

Terima kasih daun keladi Datuk, lain kali ada majlis jangan lupa jemput Teman lagi..bukan senang nak jumpa Ketua Menteri yang sentiasa sebuk ni, Teman pernah menunggu lebih empat jam untuk wawancara beliau. tetapi kelebihan Datuk Ali, kalau SMS beliau tetap tak pernah mengecewakan, tetap di jawab walaupun kadang kadang agak lambat.

1 comment:

ruff said...

"Jangan sampai sokong bawa rebah Datuk"
betul !!