Monday, October 27, 2008

Samy Vellu masih seperti dulu


Samy Vellu masih seperti dulu, mesra dan peramah, itu yang Teman dapat simpulkan sewaktu kesempatan bertemu beliau di majlis rumah terbuka Depavali di kediaman Ketua Pemuda MIC T Mohan,di Bandar Putri, Puchong.

Agak lama juga Teman tidak bertemu dengan Datuk Seri S Samy Vellu, apa lagi selepas pilihan raya umum lalu yang membawa kepada kekalahan beliau mempertahankan kerusi Parlimen Sungai Siput.

Tetapi tokoh lama dalam MIC itu masih bertenaga dan bersemangat seperti biasa bila bercakap mengenai politik, memandangkan majlis itu terlalu ramai yang hadir, Datuk S Samy Vellu berjanji satu hari beliau akan mengajak Teman minum- minum sambil bersembang politik.

Elok lah tu, sudah lama Teman tidak mendengar cerita, apa lagi menjelang pemilihan parti MIC yang dijangka diadakan mulai Mac tahun depan.

Dengar khabarnya, Samy Vellu akan mempertahankan jawatan beliau dan sudah bersedia menghadapi tentangan dari sesiapa sahaja.

"Saya sudah biasa dengan ini semua, sudah banyak kali kena tentang, tapi masih macam biasa juga, masyarakat India rata-rata masih menyokong saya," katanya.

Teman dijemput T Mohan ke majlis rumah terbuka itu yang meriah dan menampakkan suasana muhibah dengan kehadiran bukan sahaja masyarakat India tetapi juga Cina dan Melayu, dan ini sesuatu yang menarik sebagai bukti masyarakat pelbagai kaum boleh hidup aman dan damai dim negara kita.

T Mohan, yang baru memimpin Pemuda MIC pusat selepas pilihan raya umum lalu adalah seorang generasi muda MIC yang mempunyai masa depan cemerlang.

Sikap hormat menghormati orang ramai tanpa mengira kedudukan ada kepada anak muda yang sudah berjaya dalam perniagaan itu dan manarik juga Mohan fasih berbahasa Melayu.

Teman mengenali T Mohan sewaktu kempen pilihan raya umum lalu kerana T Mohan di pilih bertanding di DUN Sungai Tua, dalam Parlimen Gombak, walaupun nasib tidak menyebelahinya, hubungan beliau dengan pengundi DUN Batu Caves tidak habis di situ sahaja.

Sehingga kini beliau masih lagi berhubung dan bertemu dengan pengundi dan mereka yang bekerja untuk beliau dalam pilihan raya umum lalu disamping menganjurkan pelbagai program dan majlis bagi penduduk Batu Caves dan kawasan kawasan yang sewaktu dengannya.

Teman juga difahamkan, selepas pilihan raya lalu, majlis bantuan untuk orang miskin masih diteruskan seolah-olah beliau menjadi wakil rakyat kawasan berkenaan.

Kehadiran masyarakat Batu Caves ke majlis terbuka itu juga sebagai bukti, pengundi Batu Caves masih mengingati dan menyenangi T Mohan.

Tentunya kalau di pilih sekali lagi untuk mewakili DUN Batu Caves, Mohan tidak perlu lagi bekerja kuat seperti sebelum ini, beliau akan diterima pengundi dengan mudah.

Pemimpin seperti ini perlu ada bukan sahaja dalam MIC malahan di kalangan anggota parti kompenan Barisan Nasional terutama UMNO yang semakin kurang dengan pemimpin yang rajin berdamping dengan masyarakat tanpa mengira masa.

Jangan hanya muncul menjelang musim pemilihan parti dan pilihan raya sahaja...

1 comment:

ruff said...

"Jangan hanya muncul menjelang musim pemilihan parti dan pilihan raya sahaja"
betul tuh..