Friday, October 31, 2008

Permulaan buat Ku Li


Persidangan perwakilan UMNO bahagian Gua Musang esok sudah tentu akan mencalonkan Tengku Razaleigh Hamzah untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO bagi pemilihan parti Mac depan.

Walaupun beliau dijangka akan mendapat satu sahaja percalonan esok, tetapi realiti politik sukar untuk diramal, barangkali pencalonan pertama nanti akan menjadi permulaan kepada langkah ahli parlimen Gua Musang itu untuk menawar diri berkhidmat kepada parti.

Tentunya, Teman percaya sebelum membuat pengumuman bertanding, beliau yang sudah masak dengan sepak terajang politik sudah membuat perhitungan dan perkiraan mengenai pencalonan yang bakal diperolehi.

Sebagai sebuah parti yang mengamalkan demokrasi dan kebangkitan suara akar umbi, segala kemungkinan itu tidak mustahil walaupun sebahagian besar perwakilan memilih Datuk Seri Najib bagi mengambil alih kepimpinan daripada Datuk Seri Abdullah Badawi.

Ketika ini Najib sudah mengumpul 105 pencalonan daripada keseluruhan 191 bahagian.

Tanpa didorong oleh keyakinan itu, tentunya putera raja dari Kelantan itu tidak membuat sebarang pengumuman dan berhasrat mencuba nasib untuk kerusi tersebut sebagaimana diwarwarkan sebelum ini.

Walaupun terpaksa mengunakan gear tiga atau gear empat, beliau masih ada lagi peluang untuk bersama-sama masuk gelanggang kerana masih ada 86 bahagian yang belum bermesyuarat dan beliau hanya memerlukan 59 pencalonan untuk melepasi kelayakan.

Lihat sahaja dengan pencalonan yang diperolehi oelh Datuk Seri Khir Toyo untuk jawatan Ketua Pemuda, sebelum ini beliau hanya mampu mengutip kurang daripada 10 pencalonan untuk bersama dengan dua lagi calon, Datuk Mukhriz Tun Mahathir dan Khairy Jamaluddin yang sudah jauh meninggalkan beliau.

Tetapi hari ini, bekas Menteri Besar Selangor itu bukan sahaja sudah berada di zon selesa untuk pencalonan tetapi berada di tempat kedua mengatasi Khairy.

Tidak kurang juga dengan pencalonan yang diperolehi oleh dua lagi calon Timbalan Presiden, Tan Sri Muhammad Muhd Taib dan Datuk Seri Ali Rustam, walaupun masih belum layak tetapi pencalonan semakin meningkat dan tentunya mereka turut mendapt pasport untuk bersama sama Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagi Teman, Ku Li tidak perlu lagi menyediakan bendera putih kerana masih ada lagi ruang untuk beliau dan tentunya sebagai seorang pemimpin berjiwa besar, Ku Li akan akur dengan ketetapan yang diputuskan perwakilan nanti.

Lihat sahaja beberapa bahagian yang selesai mengadakan persidangan masing-masing, banyak juga keputusan yang mengejutkan, bagaimana Giant Killer, Datuk Rahman Bakar boleh kalah di Marang, Datuk Hamdy tewas di Bruas, Khairy gagal menyapu bersih pencalonan dari Negeri Sembilan dan kegagalan Muhyiddin mengumpul pencalonan dari Kota Tinggi dan Johor Bahru.

Oleh itu sama-sama kita melihat perkembangan yang akan berlaku selepas persidangan perwakilan Gua Musang, apakah ia akan merebak ke bahagian lain yang masih banyak lagi belum mengadakan persidangan.

Teman yang agak lama mengenali Kul Li dan kesempatan bertemu beliau baru-baru ini dapat membuat kesimpulan bekas Naib Presiden UMNO dan Menteri Kewangan itu masih berminat untuk bekerja dan mempunyai wawasan yang besar ke arah membantu memperkukuhkan parti dan ekonomi orang Melayu.

Cuma bisik seorang rakan yang bersama-sama selepas menemui Ku Li di kediamamnnya, berkata Ku Li ini menjadi mangsa sistem kouta UMNO sahaja dan sistem itu sudah sepatutnya di letak di Muzium,kalau mahu melihat UMNO benar-benar memegang prinsip demokrasi.

Bagi Teman, Selamat bersidang Ku.