Monday, February 16, 2009

Lagi skandal pemimpin PKR


Isu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Kelang, Badrul Hisham Abdullah yang kononnya di tangkap khalwat baru sahaja selesai, beliau yang muncul dengan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Azmin Ali menafikan tuduhan yang tersebar luas itu. Bagaimanapun isu tersebut tidak berakhir di situ, ia masih kedengaran walaupun samar-samar.

Bagaimanapun tidak sampai seminggu selepas isu tersebut berlalu begitu sahaja, timbul pula cerita baru melanda parti yang memerintah negeri Selangor iaitu gambar bogel EXCO kerajaan negeri, Elizaberth Wong kini sedang tersebar luar.

Elezberth yang juga ADUN Bukit Lanjan mengakui gambar yang tersebar luas itu adalah milik beliau, bagaimanapun ia diambil tanpa pengetahuannya dan sudah membuat laporan polis mengenai apa yang disifatkan beliau sebagai mangsa mainan pihak tertentu.

Bagaimanapun, apa sahaja alasan yang diberikan, tentu rakyat boleh menilai isu tersebut dan sepatutnya beliau yang juga Ketua Penerangan Wanita PKR harus mengikut jejak pemimpin BN sebelum ini yang turut meletakkan jawatan walaupun kononnya hak peribadi beliau diceroboh.

Teman masih ingat lagi bagaimana peristiwa yang terjadi kepada bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang terbabit dalam kes video lucah, akhirnya turut meletak jawatan selepas itu tersebut tersebar luas.

Jangan kerana ia membabitkan parti mereka, pelbagai alasan yang diberikan demi menghalalkan apa yang terjadi itu dan sekaligus dengan mudah menyalahkan orang lain dengan pelbagai alasan.

Bagaimana jika isu tersebut membabitkan rakan-rakan bukan parti mereka, tentunya ramai kalangan pemimpin yang sentiasa menjadi hero dalam hal-hal sebegini akan bangun membuat desakan dan sebagainya.

Teman masih ingat bagaimana bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin mempertahankan dua EXCO beliau yang ditahan kerana rasuah atau 'sedekah' sex dengan mudah menuduh ia sengaja diadakan oleh pihak UMNO yang mempunyai tujuan untuk menjatuhkan kerajaan negeri.

Begitu juga dengan pelbagai tuduhan yang dikenakan terhadap pemimpin agung mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sehingga hari ini kalangan pemimpin parti itu dan rakan mereka dalam Pakatan Rakyat menganggapkannya sebagai satu kospirasi kerajaan Barisan Nasional sahaja.

Sepatutnya mereka harus berpijak di bumi nyata, jika jelas ada di kalangan pemimpin melakukan tindakan yang atau skandal yang tidak sesuai dengan masyarakat negara ini atau boleh menjejaskan moral tidak perlu lagi untuk berdolak dalih.

Pemimpin terbabit harus direhatkan dahulu sehingga isu tersebut selesai dan kenyataan yang dibuat hendaklah lebih matang dan bukan berbentuk politik dengan mudah menyalahkan orang lain mengenai apa yang berlaku.

Kalau sekadar untuk menyalahkan orang lain bagi menutup kelemahan sendiri memang mudah tetapi jika ia membabitkan orang lain, sanggupkan mereka bersikap sedemikian. Jangan hanya melihat kesilapan orang lain, sedangkan kelemahan sendiri , orang lain pula dipersalahkan.

Teman harap, biarlah semua pihak harus berani dan berpijak di bumi nyata. tak payah nak dolak dalih pula. Pakar pusing ayat, Datuk Seri Anwar Ibrahim harus mengajak anak-anak buah beliau lebih berani menghadapi kenyataan.

No comments: