Thursday, February 12, 2009

Jawatan selesa yang panas


Kenyataan Datuk Seri Nizar Jamaluddin beberapa hari sebelum krisis kepimpinan negeri bermula selepas menghadap Sultan Azlan Shah bahawa beliau akan menyerah kepada Tuanku dan yakin dengan kebijaksanaan Sultan yang akan membuat keputusan adil pada mulanya amat disenangi malahan membuktikan beliau seorang pemimpin yang patut dikagumi dan bersedia menerima apa sahaja keputusan demi memelihara institusi raja-raja Melayu dan kestabilan rakyat.

Bagaimanapun tidak memerlukan masanya yang lama, tidak sampai 24 jam, Nizar sudah membuktikan pendirian beliau itu tidak lebih sebagai kenyataan politik, malahan tindakannya itu bukan sahaja tidak selasar dengan apa yang diucapkan itu, sebaliknya melampuai batas sebagai seorang pemimpin Melayu yang sentiasa memelihara tata susila dan kekal menghormati institusi raja raja, apa lagi Sultan Perak yang pernah memegang jawatan Ketua Hakim Negara lebih arif mengenai perundangan dan tentunya baginda membuat sesuatu keputusan berlandaskan peraturan dan undang-undang yang jelas.

Tetapi malangnya sehingga hari ini, dakwaan Nizar sebagai Menteri Besar boneka itu semakin jelas dengan tindakan beliau yang masih tidak mahu menerima hakikat sebenar dan terus mengakui sebagai Menteri Besar yang sah.

Malahan Nizar lebih berani lagi dengan secara terbuka dan terang-terang melakukan suatu tindakan yang melampuai tata susila bukan sahaja umat Melayu tetapi rakyat jelata iaitu “memohon menderhaka kepada sultan” yang barangkali kenyataan tersebut sekaligus tidak layak untuk beliau terus tinggal di negeri tersebut.

Tidak sampai setahun Nizar melafaskan taat setia kepada Raja, sewktu dilantik sebagai Menteri Besar dan sekaligus dianugerahkan gelaran Datuk Seri, demi memelihara hubungan baik dengan rakan-rakan beliau dalam gabungan pakatan pembangkang seperti DAP, Parti Keadilan Rakyat dan Pas, Nizar sanggup melakukan semuanya ini dan akan terus berkampong di kediaman rasmi Menteri Besar yang sepatutnya di isi oleh Datuk Dr Zambry Kadir yang sah dilantik sebagai Menteri Besar Sabtu lalu.

Apapun jika drama ini tidak ditamatkan segera, apa yang rugi bukan sahaja Nizar dan sahabat setia beliau seperti Pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham yang juga ADUN Setiawan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, penasihat beliau dibelakang krisis ini, sebaliknya rakyat Perak yang terus berada dalam kekeliruan, apa lagi panglima perang beliau seperti Karpal Singh sudah semakin berani sehingga sanggup untuk menyaman Sultan Perak.

Begitu juga dengan tindakan segelintir penyokong Pas yang sudah berani dengan “jihad”mereka dengan menyekat, membaling batu dan menghalang kereta Sultan selepas upacara mengangkat sumpah di Istana Bukit Chandan Jumaat lalu , apa lagi peristiwa itu berlaku selepas sembahyang solat Jumaat.

Selagi kubu kediaman rasmi Nizar tidak dirobohkan, rakyat yang begitu taksub dengan pemimpin mereka itu akan terus dikelirukan dan pastinya perjalanan kerajaan negeri akan sedikit sebanyak terjejas.

Bagi Dr Zambry, drama ini harus menjadi cabaran beliau kepada beliau untuk memimpin kerajaan negeri, apa lagi beberapa tindakan dan keputusan kerajaan negeri sebelum ini, beliau adalah antara pemimpin yang lantang mengkrirtik.

Antaranya, isu pemberian hak milik tanah kekal 999 tahun kepada penduduk kampong Baru dan isu penyerahan tanah seluas 400 hektar kepada sekolah persendirian Cina

Tentunya pilihan raya kecil Bukit Gantang tidak lama lagi sebagai ujian kepada ADUN Pangkor itu untuk membuktikan pemilihan beliau untuk mengetuai kerajaan negeri adalah pilihan tepat.

Sindrom lesu UMNO Perak di bawah kepimpinan Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali sehingga memberi ruang kepada Pakatan Rakyat untuk memerintah harus ditangani segera oleh Dr Zambry.

Pemilihan barisan kepimpin EXCO Kerajaan Negeri yang baru walaupun masih ada kekurangan perlu diperkuatkan dengan fokus kerja yang jelas kerana pastinya kerajaan Barisan Nasional tidak boleh dianggap kuat , ia masih rapuh dengan dengan jumlah kerusi yang ada. Jangan pisang berbuah dua kali. Rakyat akan menjadi muak.

Pengalaman dan kelulusan akademik yang ada pada Dr Zamby harus diterjemahkan segera bagi memikul tanggungjawab besar sebagai seorang yang berjawatan selesa tetapi dikerusi yang panas.


Teman..catatan ini disiarkan dalam mingguan watan keluaran bil 25

No comments: